MSAM 2022: MNRB dedah asas pelaburan kepada murid sekolah - Utusan Malaysia

MSAM 2022: MNRB dedah asas pelaburan kepada murid sekolah

NAIB Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Strategik Kumpulan MNRB, Rizal Mohd Zin (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Misri Mistama (tiga dari kiri) sambil disaksikan Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PNB, Datuk Mohd. Nizam Zainordin (tiga dari kanan) di SK Chuah, Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sempena penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022, pihak MNRB Holdings Berhad (MNRB) turut mengadakan Program MNRB Bijak Menabung yang bertujuan mendedahkan murid-murid sekolah kepada pengurusan wang dengan bijak.

MNRB dalam kenyataan memaklumkan, program tersebut diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuah di sini hari ini dengan murid-murid di sekolah tersebut mengikuti aktiviti permainan yang dinamakan sebagai ‘MNRB Ringgit Smart Squad’.

Katanya, permainan itu dimainkan secara berkumpulan di mana murid-murid perlu bekerjasama menjawab soalan serta membuat keputusan berkaitan tabiat perbelanjaan harian dan kepentingan menyimpan wang.

“Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat MNRB yang bertujuan memberi dorongan kepada murid-murid untuk menanam budaya suka menabung dari usia muda.

“Pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan aspek pengurusan wang telah disediakan menerusi program ini yang diadakan sempena MSAM 2022,” katanya.

Sebagai tanda sokongan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) atas pelaksanaan MSAM 2022, MNRB juga mengambil inisiatif menyumbang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kepada semua murid di SK Chuah bagi menggalakkan mereka menyimpan wang dari usia muda.

“Di samping itu, MNRB melalui anak syarikat milik penuh, iaitu Takaful Ikhlas Family Berhad telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM16,200 untuk menaik taraf surau dan pusat sumber kepada SK Chuah.

“Ini merupakan sumbangan daripada dana IKHLAS Barakah House yang bertujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya