Mohon maaf kepada Sarawak, DAP lakukan perkara betul - Kon Yeow - Utusan Malaysia

Mohon maaf kepada Sarawak, DAP lakukan perkara betul – Kon Yeow

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow menganggap Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke telah melakukan perkara yang betul apabila membuat permohonan maaf kepada Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg pagi ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berharap semua pihak khususnya kerajaan dan rakyat Sarawak menerima permohonan maaf tersebut sekali gus menjernihkan kembali hubungan antara semua parti politik terlibat.

“Kita (semua parti utama) sedang cuba dan berusaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan demi negara tercinta.

“Jadi, saya fikir Setiausaha Agung DAP telah melakukan perkara yang betul dengan meletakkan agenda negara mengatasi kepentingan parti dan peribadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Anthony dalam satu kenyataan memberitahu, beliau telah membuat satu kunjungan hormat terhadap pemimpin Sarawak itu di Kuching pagi ini.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Prof. Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian itu, beliau berharap ia akan membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi menjadikan Malaysia negara yang lebih maju dan progresif.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, keutamaan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP ketika ini ialah untuk membentuk sebuah kerajaan di peringkat nasional terlebih dahulu.

Justeru katanya, adalah terlalu awal untuk membincangkan sejauh mana kerjasama yang akan dijalin dengan parti gabungan lain sama ada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) selepas ini.

“Buat masa ini, saya fikir kita perlu menyesuaikan diri dengan situasi politik semasa kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan ketika ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya