KUALA LUMPUR: Selepas Majlis Tertinggi UMNO semalam, tumpuan pemerhati politik kini ke arah mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada pagi ini bagi menentukan hala tuju kerjasama politik gabungan parti itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bertempat di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Kuala Lumpur, kepimpinan BN bakal menentukan dan menilai keputusan MT UMNO yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan tanpa melibatkan Perikatan Nasional (PN).
Semalam ketika dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Ahmad Zahid berkata, Seri Paduka menitahkan agar BN menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.
Langkah itu ekoran apabila tiada parti meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pusat pasca PRU15.
Malah mesyuarat hari ini menjadi tumpuan penting apabila komponen BN mendesak Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur ekoran sepucuk surat yang tular semalam.
Ia membabitkan surat dihantar ke Istana Negara kononnya mendakwa 30 ahli Parlimen BN menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.- UTUSAN










