Sasaran KJ menang di Sungai Buloh, ketuai UMNO dan jadi PM

Sasaran KJ menang di Sungai Buloh, ketuai UMNO dan jadi PM satu hari nanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat beliau untuk memimpin UMNO dan negara satu hari nanti.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau itu bagaimanapun berkata, ia bukanlah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika BN mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan.

Jelasnya, beliau akan menyokong calon BN Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan beliau boleh menunggu untuk memimpin parti dan negara.

“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya di P107 satu hari nanti kita akan pimpin negara Malaysia, insya-Allah dengan sokongan rakan-rakan parti satu hari nanti saya hendak ketuai UMNO dan menjadi Perdana Menteri dan saya kena menang di sini.

“Ini kali pertama saya kata begini tetapi bukanlah sekarang kerana jika kita menang kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri Malaysia, saya umur 46 tahun boleh tunggu lagi tapi jangan lama sangat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama, di sini, malam tadi.

Menurut Khairy, sekiranya pengundi di Sungai Buloh memenangkan beliau pada PRU kali ini, Menteri Kesihatan itu bakal mempunyai sokongan kuat untuk mengetuai UMNO satu hari nanti.

“Saya bersedia (mengetuai UMNO dan negara) tetapi kena buktikan di Sungai Buloh di mana orang Sungai Buloh menyokong saya dan saya boleh cakap dengan parti saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000 undi jadi saya nak ketuai parti dan UMNO,” katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, individu berkenaan perlu keluar dari zon selesa dan bukan terus berada di kerusi selamat.

Jelasnya, jika itu berlaku seseorang individu tidak akan menjadi pemimpin yang boleh membawa negara ke peringkat lebih tinggi.

“Dalam hidup ini mesti ada cabaran, kalau semua lari ke kerusi selamat yang sudah menang tiga ke empat kali berturut-turut siapa hendak lawan di kerusi mencabar ini.

“Sungai Buloh dan Kuala Selangor letaklah kambing yang akan disembelih saya tidak datang untuk kalah, saya datang untuk berikan kemenangan kepada BN,” katanya.

Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy (BN), Datuk R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.