Mahkamah terima saman fitnah Tuan Ibrahim terhadap Rafizi 

Mahkamah terima saman fitnah Tuan Ibrahim terhadap Rafizi 

RAFIZI RAMLI (kiri) dan TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man telah memfailkan satu writ saman dan pernyataan tuntutan setebal 73 muka surat terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. 

Ia berhubung dakwaan calon Parlimen Pandan itu bahawa Tuan Ibrahim meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dinamakan Mangkabumi Sdn. Bhd.. 

Saman fitnah itu difailkan melalui Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada pukul 4 petang, semalam. 

Timbalan Presiden Pas itu berkata, Rafizi perlu dikenakan tindakan undang-undang demi keadilan dan kebenaran kerana perbuatannya yang didakwa membuat tuduhan jahat, penyelewengan fakta dan penipuan bertujuan memfitnah serta menghancurkan kredibiliti beliau dan Pas di ambang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Insya-Allah, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman tersebut kepada Rafizi. 

“Saya berharap beliau berani berhadapan proses mahkamah mengikut lunas undang-undang, dan bukan hanya berkokok melaungkan fitnah di media-media sosial dan pentas ceramah.

“Saya sahut cabaran Rafizi untuk menyaman beliau. Pihak mahkamah telah menerima writ saman tersebut.

“Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut akan mengikut jejak saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim pada 10 November lalu telah menghantar notis tuntutan kepada Rafizi dan memberi masa satu minggu untuk memohon maaf dan menarik balik dakwaannya, namun, tiada maklum balas bertulis diterima kepada peguamnya. 

Sebelum ini, Rafizi dalam satu sidang media mendakwa, kementerian itu dalam proses menganugerahkan projek secara rundingan terus kepada kontraktor dilantik yang dikatakan melanggar undang-undang kerana tiada sebarang keputusan, aku janji atau anugerah boleh dibuat dalam tempoh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara. 

Rafizi mencabar Tuan Ibrahim meneruskan niat menyamannya berhubung isu tersebut dan akan tampil ke mahkamah kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai penyelewengan yang berlaku.

Pada 15 November lalu, polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan tersebut dan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya