Mahkamah batal rayuan pendakwaan - Utusan Malaysia

Mahkamah batal rayuan pendakwaan

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi menggantung sabitan dan hukuman atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan rayuan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah memaklumkan pihaknya memfailkan notis pemberhentian rayuan pada 28 Oktober lalu.

“Mahkamah membatalkan rayuan pihak pendakwaan,” jelas Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada sesi sebutan kes yang turut disertai oleh peguam S. Devanandan yang mewakili Peter.

Pada 5 Ogos lalu, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan penangguhan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana memalsukan surat daripada pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu juga didenda RM50,000, atau penjara 15 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Januari depan bagi mendengar rayuan Peter terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Peter, 51, memfailkan permohonan untuk menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya bagi membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 1 Ogos lalu, Hakim Azura Alwi membenarkan permohonannya selepas berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan oleh pihak pembelaan.

Pada 26 Mei lalu, Azura menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di UMS pada 2014.

Bagaimanapun Azura memerintahkan jumlah ikat jamin dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000 sementara menunggu keputusan rayuan.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering disabit memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki Peter.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya