Letak jawatan jika tidak suka Presiden UMNO - Waris Pekembar

Letak jawatan jika tidak suka Presiden UMNO – Waris Pekembar

WAKIL Waris Pekembar berucap dalam Himpunan Solidariti Menyokong Institusi Presiden UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta segera meletakkan jawatan.

Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam (Waris Pekembar) Bahagian Batu, Mohd. Rodzi Tajuddin berkata, tiada guna golongan berkenaan terus menjadi duri dalam daging parti itu jika mengkhianati Presiden.

“Kalau ketua bahagian UMNO dan ahli Majlis Tertinggi (MT) tidak berminat dengan Presiden, sila keluar atau letak jawatan.

“Sesiapa yang menyuruh Ahmad Zahid meletak jawatan, mereka ini sebenarnya bacul,” katanya ketika Himpunan Solidariti Menyokong Presiden UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil mendesak Ahmad Zahid supaya meletak jawatan sebagai Presiden UMNO susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain beliau, turut membuat desakan sama adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kalangan ketua-ketua bahagian.

Mohd. Rodzi berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk UMNO menukar pemimpin, sebaliknya parti itu perlu bersatu dan kuat seperti sebelumnya.

“Saya mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya menolak golongan tidak setia dan khianat kepada institusi presiden ini pada pemilihan parti nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Penyatuan Ummah, Zamil Ibrahim berkata, poster boy BN, Ismail Sabri juga perlu bertanggungjawab atas kekalahan UMNO pada PRU15.

Katanya, tidak adil kesalahan diletakkan kepada Presiden seorang, sedangkan punca utama parti itu tewas adalah kerana aura poster boy yang lemah berbanding lawan. 

“Gambar Ismail Sabri diletakkan di seluruh Parlimen BN bertanding, malangnya beliau tidak laku di mata rakyat.

“Kita sedang membuat kajian apakah majoriti kurang di Bagan Datuk berpunca akibat poster boy,” katanya.

Beliau turut menggesa pucuk kepemimpinan UMNO mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin yang  mengeluarkan kenyataan biadab dan mensabotaj parti pada PRU15 sebelum pemilihan baharu diadakan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.