Lembah Pantai: PH positif kekal, BN kali ini berbeza

Lembah Pantai: PH positif kekal, BN kali ini berbeza

Parlimen Lembah Pantai bakal menyaksikan pertarungan empat penjuru Sabtu ini. Calon terlibat ialah (dari kiri) Fahmi Fadzil, Ramlan Askolani, Fauzi Abu Bakar dan Asmah Mohd. Razali. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ikuti wawancara ringkas 5 Soalan bersama calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlan Askolani dan PKR, Fahmi Fadzil Pantai yang bertanding di kerusi Parlimen Lembah Pantai 

 

Mukadimah: Parlimen Lembah Pantai antara yang menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana kedudukannya yang terletak di ibu negara.
Kerusi itu pernah menjadi kubu Barisan Nasional (BN) tetapi sejak 2008, pengundi beralih arah kepada PKR.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN, Datuk Ramlan Askolani dan Fahmi Fadzil berkongsi gerak kerja dan harapan mereka dalam pilihan raya umum kali ini.

Ramlan tidak faham kawasan

BN tewas namun raih lebih 27,000 undi pada PRU14. Adakah ini menjadikan BN saingan utama PH di Lembah Pantai?
FAHMI: Kalau kita tengok sehingga 2008, waktu itu secara semula jadi, Lembah Pantai adalah kerusi BN namun selepas 2008, kerusi ini beralih kepada PKR. Sehingga kini, saya dan pasukan sangat positif tetapi kami masih beranggapan BN adalah pencabar utama.

Calon BN katakan sudah tiga penggal PH di Lembah Pantai tetapi tiada sebarang perubahan dibawakan. Adakah PH menang di Lembah Pantai hanya kerana rakyat di sini tolak BN?
Saya rasa Datuk Ramlan belum baca kad laporan saya dan dia tidak berada di lapangan. Kalau dia baca, dia akan tahu kejayaan kita termasuk memastikan RUMAWIP yang dibina di sini dimiliki oleh penduduk kawasan ini sendiri.
Hampir 60-70 peratus pembelinya adalah anak-anak Lembah Pantai. Kami juga berjaya selamatkan Kampung Kerinchi. Ketika zaman UMNO, nama Kampung Kerinchi itu seperti hilang. Di mana Datuk Ramlan ketika itu sedangkan dia timbalan Datuk Seri Raja Nong Chik.
Itu sebabnya BN hilang undi kerana mereka bukan parti yang memikirkan nasib rakyat. Pada saya, Datuk Ramlan adalah individu yang tidak faham kawasan ini.
Lembah Pantai terbahagi kepada dua kelompok masyarakat, ada yang elit dan berpendapatan rendah.

Apa cabaran untuk penyesuaian tugas di kawasan ini?
Masa Bangsar South disiapkan, salah satu masalah utama adalah jurang yang wujud antara orang yang bekerja di Bangsar South dan penduduk di Kampung Kerinchi. Namun sejak 2018, usaha yang kita ikhtiarkan untuk merapatkan jurang termasuk memastikan anak-anak di Kampung Kerinchi mendapat kerja dari syarikat yang bertapak di Bangsar South membuahkan hasil.
Ini satu perkara baik dan bagi saya cabaran dalam isu jurang hanya boleh diatasi sekiranya wakil rakyat faham perbezaan bukan satu liabiliti tetapi harus menjadi pemangkin untuk merapatkan dalam kalangan komuniti. Saya juga menyediakan kelas belajar bahasa Inggeris percuma melibatkan sukarelawan di kawasan Bangsar. Ada juga kita sediakan foodbank, mengagihkan bantuan. Jurang fizikal yang pernah berlaku itu, pada hari ini hanya sekadar jurang fizikal.
Ada yang menggunakan sentimen banjir di Lembah Pantai sebagai modal politik.

Apakah kebimbangan utama Fahmi dengan naratif yang dibawakan oleh pihak lawan?
Mereka tidak ada di kawasan ketika banjir berlaku. Saya nampak beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan UMNO yang hadir tetapi rata-rata mereka yang lain tidak hadir. Kalau tidak percaya, boleh tanya pada orang kampung.
Naratif yang pihak lawan mainkan adalah isu remeh kerana sepanjang empat tahun yang saya berkhidmat, rakyat Lembah Pantai boleh lihat sendiri saya santuni keluarga-keluarga. Itu adalah bukti yang kukuh dan sukar untuk pihak lain lawan sekiranya mereka tidak ada di lapangan.

Lembah Pantai dikatakan kerusi mudah bagi PH tetapi bagaimana dengan pengundi baharu dan pengundi muda?
Cabaran kali ini adalah pengundi atas pagar, pengundi baharu dan pengundi yang sebelum ini tawar hati akibat Langkah Sheraton. Mereka yang keluar mengundi pada PRU14 tiba-tiba merasakan budi mereka sia-sia. Jadi kepada kumpulan ini saya dekati dengan strategi berbeza.
Anak muda mungkin mereka tidak terlalu terbuka untuk bercerita mengenai politik tetapi tidak bermaksud mereka tidak prihatin. Mereka ini menilai ahli politik serta isu besar yang mereka hadapi adalah isu rumah, gaji dan harga barang mendapat tumpuan isu ini.
Bagi yang sudah berkahwin mereka peka dengan politik kerana mereka tahu kerajaan yang dipilih akan menentukan hidup mereka untuk lima tahun akan datang.

 

Fahmi bernasib baik menang kerana isu nasional

Bagaimana sambutan rakyat?
RAMLAN: Kita tahu penduduk Lembah Pantai yang kebanyakannya kaum Cina dan mereka turut meletakkan bendera BN. Ia amat mengejutkan dan apabila saya bertanya, mereka kata mahukan kestabilan dan mahukan perubahan.
Saya pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi sangat tetapi apabila melihat perubahan itu, saya tingkatkan usaha saya. Masa hari pertama penamaan calon, saya sudah turun ke 20 rumah.Pada hari pembubaran Parlimen, saya mula turun kawasan walaupun ketika itu saya tidak yakin boleh menjadi calon kerana ramai calon lain berkelayakan.

Adakah kerusi Lembah Pantai amanah yang besar?
Pada mulanya saya tahu ramai yang mahu masuk sini sebelum saya sendiri menyahut cabaran untuk bertanding di sini sebab masa berumur 30 tahun ketika saya menjadi pemain untuk KL, saya sudah terlibat menjadi Ketua Pemuda cawangan dan Timbalan Ketua cawangan. Untuk lebih 30 tahun saya sudah terlibat
Saya pun tidak tahu macam mana daripada main bola kemudian saya boleh masuk politik. Saya terlibat dengan jawatan cawangan kemudian tiba-tiba saya berjumpa dengan orang politik dan itu yang saya bertanding pada 1993 sebagai Ketua Pemuda cawangan, menang pula.
Untuk kali ini, saya bagi tahu saya mahu bertanding sebab saya pernah bawa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan kemudian Datuk Seri Raja Nong Chik. Jadi ia memang satu cabaran kerana kawasan campuran.

Apa isu kawasan Melayu di sini?
Bagi penduduk Melayu di sini, mereka mengeluh mengenai isu rumah. Mereka tidak mampu untuk menyewa rumah dan sekiranya saya menang, saya mahu perjuangkan rumah mampu milik. Jika dibangunkan projek itu, 40 peratus mestilah milik penduduk di sini.
Selain itu, sebagai seorang bekas pemain bola sepak, saya ada inisiatif untuk membina mini stadium yang serba guna untuk anak muda kita.
Kita boleh lahirkan atlet negara daripada inisiatif ini. Ketika saya ambil alih kawasan Lembah Pantai, dari kosong juga tetapi saya boleh bertahan sampai sekarang. Masa 2018 itu pun, UMNO terumbang ambing tetapi kita bertahan sehingga sekarang.
Saya telah dilatih oleh Dr. Jozef Vengloz yang mengajar supaya jangan menyerah sebelum berlawan. Dia didik supaya kerja kuat dan berdisiplin, apabila buat sesuatu perlulah ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

Adakah nama besar mainkan peranan untuk menang kerusi Lembah Pantai?
Dulu semasa Nurul Izzah di sini, dia gunakan nama bapanya iaitu Anwar Ibrahim. Memang apabila dia ke sini, sentimen simpati terhadap bapanya yang pernah masuk penjara itu sangat kuat.
Bagi Fahmi Fadzil pula, dia bernasib baik kerana isu nasional memainkan peranan pada masa itu. Sentimen nasional dimainkan sehingga orang rasa mereka mahu ubah.
Ledakan PRU14 itu lain dan kali ini ia berbeza kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Datuk Seri Najib Razak juga telah dihukum.
Hari ini rakyat lihat, apa yang dijanjikan dahulu tidak ditunaikan dan saya berani kata kali ini berbeza kerana orang Melayu sudah tahu di belakang PH adalah DAP.

Cabaran di kawasan bukan Melayu?
Lepas 2018, saya terus buat kerja dan saya di Taman Lucky, mereka mahu taman bunga di situ, saya yang merupakan pengerusi pembangunan dan perumahan pada zaman Raja Nong Chik, saya penuhi permintaan mereka.
Semasa ke pasar pagi, ada seorang lelaki Cina nampak saya dan dari jauh dia panggil. Dia bawa jumpa peniaga-peniaga dalam pasar itu dan perkenalkan ini calon kita. Saya tidak perasan tetapi setiausaha saya yang lihat dan kata memang ada perubahan.
Kita juga ada buat booth dan ada satu seorang Cina yang merupakan bekas tentera, dia mahu terlibat dengan kempen saya. Kali ini memang berbeza. Dahulu mereka tidak mahu salam pun, sekarang mereka mahu bergambar lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN