Lebih 85 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

Lebih 85 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain (dua dari kiri) melawat proses pengundian awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2, Melaka, semalam. - UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 85 peratus daripada 224,828 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, semalam.

Proses pengundian awal itu melibatkan pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mereka yang terlibat adalah 117,473 anggota tentera dan pasangan manakala 107,355 lagi adalah PDRM dan PGA serta pasangan masing-masing.

Sehingga pukul 2 petang, SPR mengesahkan sebanyak 191,103 pemilih telah keluar mengundi.

Sebanyak 578 Pusat Mengundi Awal dibuka di seluruh negara antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera di seluruh negara.

Proses pengundian awal itu tamat kira-kira pukul 5 petang semalam selepas dibuka bermula seawal pukul 8 pagi.

PRU15 kali ini menyaksikan seramai 1,386 calon layak bertanding bagi merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Jumlah itu melibatkan 945 calon bertanding untuk 222 kerusi Parlimen iaitu meningkat
hampir 28 peratus berbanding PRU14 lalu yang hanya merekodkan penyertaan sebanyak 687 calon.

Bagi peringkat DUN, seramai 441 calon bertanding di 117 kerusi iaitu di Perlis, Perak, Pahang dan DUN Bugaya di Sabah.

Jumlah calon Pakatan Harapan (PH) direkodkan paling tinggi bertanding di peringkat Parlimen iaitu seramai 220 calon termasuk enam calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Barisan Nasional (BN) menampilkan 178 calon, Perikatan Nasional (PN) dengan 171 calon, manakala Pejuang yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) termasuk sembilan calon daripada Putra sebanyak 125 calon.

SPR juga merekodkan seramai 108 calon Bebas yang mencuba nasib merebut kesemua kerusi Parlimen kecuali di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi peringkat DUN pula, BN mempertaruhkan 117 calon, diikuti PH seramai 116 calon, PN (116 calon), Parti Pejuang yang mewakili GTA (45 calon) manakala Bebas (24 calon).

Pilihan raya umum kali ini juga menyaksikan pertembungan sehingga 10 penjuru di Parlimen Batu, Kuala Lumpur, manakala tujuh penjuru bagi peringkat DUN melibatkan DUN Chenderiang, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.