LANGKAWI: Perkhidmatan feri yang menjadi pengangkutan utama pengguna untuk ke Pulau Langkawi yang sering berdepan masalah sejak akhir-akhir ini menjadi satu bebanan kepada penduduk dan pemain industri pelancongan.
Masalah itu jika tidak diatasi segera bukan sahaja berterusan menyusahkan penduduk tempatan untuk berulang-alik ke tanah besar, malah operator pelancongan turut berisiko ‘bungkus’.
Apatah lagi, kejadian dua feri penumpang terkandas di perairan Kuala Kedah minggu lalu meninggalkan imej buruk kepada Langkawi meskipun ada pihak mendakwa ia bukan kesalahan syarikat pengendali perkhidmatan itu semata-mata.
Justeru bekas Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah/Perlis, Ahmad Pishol Ishak berkata, kesemua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan terlibat, operator feri serta kontraktor pengerukan laluan feri perlu duduk bersama membincangkan permasalahan itu.
“Isu ini sudah menjadi beban kepada pengguna perkhidmatan feri serta pemain industri pelancongan di sini sehingga menyebabkan industri pelancongan terjejas dan merosakkan nama baik Langkawi.
“Kalau boleh minta kerjasama pihak terlibat untuk sama-sama cari jalan penyelesaian bersama penggiat industri tanpa menuding jari mencari kesalahan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Pada 23 Oktober lalu, sebuah feri dari Pulau Langkawi membawa 545 penumpang terkandas akibat tersangkut beting pasir selepas cuba mengelak kabel boya penambat kapal pengerukan di muara Kuala Kedah.
Lima hari kemudian, sebuah lagi feri ke Pulau Langkawi terkandas akibat tersangkut kabel boya penambat kapal.
Ahmad Pishol mencadangkan, pembinaan sebuah terminal baharu yang dinaik taraf dengan tempat meletak kereta dan kedai-kedai perniagaan seperti di Terminal Feri Langkawi adalah perlu di Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
Jelasnya, perancangan jangka panjang seperti itu adalah perlu kerana kerja-kerja pengerukan yang dilakukan ketika ini hanya penyelesaian jangka pendek.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Langkawi (TCL), Datuk Alexander Issac berkata, satu penyelesaian segera perlu dilakukan sementara menanti kerja-kerja pengerukan alur pelayaran feri selesai di Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
“Kita perlu bersedia untuk menerima kedatangan pelancong bagi cuti sekolah hujung tahun ini dan mungkin Jabatan Laut boleh mempertimbang membenarkan dua feri untuk berlabuh bersebelahan satu sama lain,” katanya. – UTUSAN