‘Laluan Paya Garuk ditakuk lama’

‘Laluan Paya Garuk ditakuk lama’

LALUAN yang sering dinaiki air setiap kali musim banjir di Simpang Paya Garuk di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sampai bila pengguna jalan raya dari Jerantut ke Taman Negara Kuala Tahan dan kira-kira 15,000 penduduk mukim Tembeling Tengah dan mukim Ulu Tembeling di daerah ini perlu menunggu projek menaik taraf jalan direalisasikan oleh kerajaan di Simpang Paya Garuk, Jerantut Feri, di sini.

Ini kerana kawasan laluan Paya Garuk yang rendah mudah ditenggelami air Sungai Pahang dan anak sungai berdekatan setiap kali musim hujan bermula bulan November hingga Disember setiap tahun malah kerap berlanjutan hingga ke awal tahun.

Kejadian banjir setiap kali penghujung tahun kerap menenggelamkan laluan sepanjang setengah kilometer dan sedalam lebih dua meter akibat air Sungai Pahang termasuk anak sungai berdekatan melimpah masuk.

Apabila berlaku kejadian itu, semua perhubungan ke Taman Negara serta dua mukim di situ terputus hampir dua minggu sekali gus menyukarkan penduduk berulang alik ke bandar untuk berbelanja dan kes kecemasan seperti rawatan di hospital.

Banjir yang menenggelamkan laluan ini juga melimpah masuk ke kawasan penempatan Paya Garuk terletak berdekatan dan menimbulkan kesusahan penduduk di situ yang kebanyakannya bekerja di kilang, penoreh getah dan buruh ladang.

Difahamkan kerja menaik taraf laluan itu sudah ada dalam perancangan kerajaan membabitkan peruntukan bernilai RM20 juta selepas bah merah 2014, tetapi ia tidak dapat direalisasikan apabila peruntukan berkenaan dibawa untuk pembangunan projek di tempat lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Mustapha Abdullah, 35, berkata, setiap kali musim hujanr, laluan di Simpang Paya Garuk terputus hubungan kerana ditenggelami air sedalam dua meter.

“Kejadian ini menyukarkan penduduk berurusan ke bandar Jerantut untuk membeli keperluan dapur dan rawatan perubatan di hospital bagi penduduk yang mengalami penyakit kronik.

“Kita berharap kerajaan dapat menaik taraf segera dengan meninggikan laluan ini dan membaikpulih sistem saliran anak sungai dan sebagainya bagi mengelakkan banjir berulang dan seboleh-bolehnya sebelum musim bermula tidak lama lagi,” ujarnya.

Penduduk Tembeling Tengah, Hamid Ahmad, 56, menggesa kerajaan mempercepatkan projek menaiktaraf laluan tersebut supaya penduduk dan kenderaan tidak lagi tidak terkandas ke bandar Jerantut setiap kali musim pejur penghujung tahun.

“Saya mendapat tahu selepas banjir 2014, ada pihak tertentu yang menguar-uarkan projek menaiktaraf laluan ini, tetapi sehingga ini masih belum ‘menjelma’ dan kami mula dihantui kebimbangan kerana musim pejur sudah hampir tiba,” katanya.

Tambah Hamid lagi, setiap kali laluan itu terkandas, penduduk tidak dapat membawa hasil kampung termasuk sawit dan getah ke bandar Jerantut menyebabkan kerugian malah ada pengusaha kehilangan pendapatan.

Seorang pemandu alam sekitar Taman Negara yang mahu dikenali sebagai Adnan mendakwa, ketika laluan itu terkandas pelawat domestik dan pelancong luar tidak dapat melawat ke pusat peranginan hutan tropika tersebut termasuk kampung tradisional Melayu di Ulu Tembeling.

“Senario ini mengundang kehilangan pendapatan dalam kalangan pemain dan penggiat sektor ekopelancongan Taman Negara dan Ulu Tembeling dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu kerana pengunjung tidak dapat datang setiap kali kawasan berkenaan dinaiki air,” katanya.- UTUSAN

 

 

UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya