KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri disaran agar menguatkuasakan syarat pelesenan kedai gunting rambut dan spa di Terengganu agar ia dilaksanakan mengikut syariah dengan mengasingkan jantina pelanggan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita, Zuraida Md. Noor berkata, satu klausa di dalam syarat-syarat lesen kedai gunting rambut dan pendandan rambut ialah kedai gunting rambut uniseks adalah tidak dibenarkan beroperasi.
Menurutnya, kedai gunting rambut untuk lelaki hendaklah diurus oleh lelaki sahaja dan kedai gunting atau dandanan rambut untuk perempuan mesti diurus oleh perempuan sahaja.
“Persoalannya, sejauh mana syarat-syarat ini dipatuhi? Saya mendapat aduan daripada masyarakat yang menyuarakan kebimbangan apabila terdapat percampuran lelaki dan perempuan dalam perkhidmatan gunting rambut ini.
“Hal yang sama juga berlaku di premis spa dan salon kecantikan diri. Saya hairan bagaimana penggiat industri dandanan rambut dan salon kecantikan, boleh terlepas pandang perkara besar ini,” katanya dalam sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.
Tambahnya, industri fesyen dandanan rambut sepatutnya perlu memperhalusi tuntutan syarak seperti dinyatakan dalam syarat kelulusan lesen tersebut.
“Sekiranya diabaikan, ianya memberi kesan dan imej negatif kepada semua pihak. Para pengusaha tidak seharusnya hanya meletakkan orientasi keuntungan semata-mata dalam perusahaannya tetapi perlu mengutamakan tuntutan syarak dalam kehidupan.
“Saya positif perkara ini boleh diatasi sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan yang wajar mengikut undang-undang kecil setiap PBT,” katanya. – UTUSAN