Kita semua rakyat Malaysia, saya bukan pendatang - Nicole

Kita semua rakyat Malaysia, saya bukan pendatang – Nicole

ANTARA kata-kata negatif yang ditampal pada bahan kempen Nicole Wong yang bertanding di Parlimen Tebrau, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Kita semua rakyat Malaysia. Saya bukan pendatang.” 

Demikian tegas Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong sambil menempelak tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menaikkan kata-kata sindiran pada bahan kempennya selaku calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tebrau.

Pihaknya mengesan 10 kawasan bahan-bahan kempennya dicemari dengan kata-kata negatif termasuk didakwa sebagai pendatang (orang luar).

“Politik kotor seperti ini hanya akan merumitkan keadaan dan juga mengganggu perjalanan kempen kerana pasukan saya perlu pergi ke semua lokasi terlibat untuk menurunkan kata-kata negatif itu.

“Lagipun, mengapa perlu menggelarkan saya sebagai pendatang. Tidak kisah sama ada di Kedah, Kuala Lumpur atau di Johor, kita tetap makan makanan yang sama kerana kita semua warga Malaysia.

“Saya akui dua hari pertama berkempen saya seperti orang luar, namun selepas hari ketiga, saya diterima baik dalam kalangan penduduk setempat termasuk golongan muda. Saya anggap diri saya orang lokal,” katanya ketika ditemui di sini.

Justeru, pihaknya akan membuat laporan polis tentang kejadian tersebut dan berharap serangan-serangan sedemikian akan dihentikan.

“Ini bukan pertama kali terjadi. Pada 9 November lalu, kenderaan jentera kempen saya dilanggar sekumpulan individu tidak dikenali. Saya berharap semua pihak akan menghormati undang-undang negara,” katanya.

Selaku Ketua Pemuda MCA, beliau boleh sahaja tidak bertanding dan menyertai Kabinet sebagai Senator (jika BN menang), namun sebagai pemimpin, Nicole mahu turut berada di lapangan dan memimpin jentera BN (PRU15).

“Kerusi yang saya tandingi ini bukanlah kerusi putih, bukan kerusi selamat buat BN, tetapi saya percaya Tebrau mempunyai potensi untuk dibangunkan sekiranya mereka mempunyai wakil rakyat yang komited untuk matlamat itu, dan saya percaya mampu melaksanakannya.

“Sepanjang seminggu berkempen, saya juga melihat sokongan, khususnya golongan muda kaum Cina sudah semakin cenderung kepada BN, dan saya percaya ini akan menjadi faktor yang membantu saya dan calon-calon BN lain memenangi PRU ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya