KUALA LUMPUR: Kepentingan kesihatan mental dan emosi adalah sama penting dengan kesihatan fizikal.
Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Cyril Christopher Singham berkata, melakukan senaman, bersosial, hidup dalam skala seimbang dan mendapatkan bantuan psikologi atau kaunseling antara cara untuk memastikan kesihatan mental serta fizikal.
Kata beliau, usaha seperti menganjurkan pertandingan melukis mural Minda Sihat, Cergas Fizikal, Serlahkan Keceriaaan Bersama Gardenia QuickBites turut membantu ke arah kesihatan fizikal dan mental pelajar.
“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati hampir 424,000 remaja di negara ini berdepan masalah mental namun ramai yang tidak tampil mendapatkan bantuan.
“Pertandingan ini bukan sahaja meningkatkan kreativiti pelajar tetapi menggalakkan mereka melaksanakan aktiviti yang mampu mengurangkan tekanan,” katanya semasa Majiis Penyampaian Anugerah Minda Sihat, Cergas Fizikal, Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites di sebuah hotel, di sini hari ini.

Sebanyak 108,000 pelajar dari 100 buah sekolah di Semenanjung Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan melukis mural anjuran Gardenia QuickBites itu.
Tempoh empat bulan diberikan kepada sekolah tersebut bermula Jun hingga Oktober lalu bagi menyiapkan lukisan mural berkenaan dan kemudian dihantar kepada pengurusan Gardenia untuk penilaian.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Lavinia Anthony berkata, mesej utama di sebalik pertandingan itu adalah mengutamakan kesihatan mental dan emosi serta memupuk semangat kerjasama dan hubungan silaturahim.
“Saya berharap sambil pelajar melukis, ia mampu mencerna idea malah menyerlahkan kreativiti dan mencungkil bakat terpendam mereka.
“Saya yakin program ini dapat melahirkan rasa ceria dan memberi kesedaran dalam kepentingan mengutamakan gaya hidup sihat yang menyeluruh,” katanya.
Enam pemenang terbaik dipilih iaitu hadiah pertama disandang SMK Taman Ria Jaya, Kedah; kedua disandang SMK Putrajaya Presint 9 (2) dan pemenang ketiga adalah SMK Tan Sri Jaafar Albar, Johor.
Hadiah saguhati pula dimenangi SMK Taman Medan, Selangor; SMK Jalan Kota Tinggi, Johor dan SMK Dato Razali Ismail, Terengganu. – UTUSAN