Kes tuntutan harta sepencarian RM1 bilion ke arah penyelesaian - Utusan Malaysia

Kes tuntutan harta sepencarian RM1 bilion ke arah penyelesaian

JAMALUDIN JARJIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini diberitahu, kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya mungkin akan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

Peguam Syarie Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom, 66, selaku plaintif ketika memaklumkan perkembangan baharu itu berkata, semua pihak sedia berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik.

Sehubungan itu, ujar beliau, pihak-pihak bersetuju untuk melapangkan tarikh perbicaraan hari ini dan akan datang bagi memberi laluan kepada perbincangan keluarga yang tidak melibatkan peguam serta pihak luar.

Dalam pada itu, seorang lagi Peguam Syarie Datuk Sulaiman Abdullah yang turut mewakili Kalsom berkata, perbincangan itu memerlukan masa untuk mencapai penyelesaian.

Bagaimanapun, beliau akan memfailkan pernyataan keterangan tambahan berkaitan tuntutan itu jika perbincangan tidak berjaya.

Sementara itu, Peguam-Peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar dan Farhan Haziq Mohamed yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah selaku defendan kelima, mengesahkan terdapat perbincangan keluarga dalam menyelesaikan kes tuntutan tersebut.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid kemudian menetapkan 31 Januari tahun depan bagi keputusan status perbincangan kes tuntutan itu.

“Mahkamah meraikan tindakan yang dibuat secara perbincangan ini dan memandangkan terdapat tolak ansur daripada kesemua pihak untuk menyelesaikan tuntutan dengan cara baik, diharapkan tidak berlaku sebarang pertengkaran yang dapat merosakkan institusi kekeluargaan,” kata hakim syarie tersebut.

Bagaimanapun Kalsom, Aminah dan empat anak Allahyarham Jamaludin tidak hadir ke mahkamah dan hanya mewakilkan peguam masing-masing.

Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah Abdullah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Allahyarham Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke ibu negara terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya