KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Januari ini bagi memutuskan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada hari yang sama, Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan membuat keputusan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menghadapi pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri.
Beliau juga akan memutuskan isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan sama ada Arul Kanda boleh diberikan indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) dan dibebaskan daripada tuduhan selepas dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda.
Pada 7 September lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas mengemukakan 16 saksi memberi keterangan dalam tempoh 43 hari perbicaraan.
Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi (SP15) memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pihak pendakwaan menawarkan 18 orang saksi kepada pihak pembelaan antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Perbicaraan bermula pada 18 November 2019 dan memanggil saksi-saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.
Mengikut pertuduhan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – UTUSAN