KUALA LUMPUR: Ekonomi bandar Lenggong, Perak yang kurang pesat membangun antara faktor yang menarik minat pengarah, Datuk Jurey Latiff bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus membangunkan kawasan tersebut.
Kata anak jati Lenggong itu, dengan menjadi wakil rakyat, dia yakin dapat membangunkan ekonomi Tapak Warisan Dunia yang diwartakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu.
“Lenggong adalah kawasan yang menarik, banyak asetnya yang tidak diketahui umum.
“Jadi, kita kena lakukan sesuatu untuk menarik lebih ramai pelancong ke kawasan sini.
“Saya mahu Lenggong menjadi tapak warisan dunia UNESCO yang berimpak tinggi dari segi ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Jurey meluahkan rasa sedih dengan keadaan ekonomi di Lenggong yang masih jauh ketinggalan berbanding bandar lain di negara ini.
Justeru katanya, dia merancang dan ingin melakukan sesuatu untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk di kawasan tersebut.
“Ekonomi Lenggong masih perlahan dan kurang memberi manfaat kepada penduduk setempat. Tidak seperti tapak warisan dunia lain seperti Georgetown dan Bandaraya Melaka yang pesat membangun dari segi ekonomi dan pelancongan.
“Saya mahu Lenggong membangun seperti dua bandar tersebut. Ia boleh dilakukan sekiranya kita bangunkan ekonomi pelancongan di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jurey juga meluahkan kebimbangan terhadap tahap kemiskinan di Lenggong yang semakin tinggi kerana keadaan ekonominya yang semakin suram.
“Sebagai anak jati Lenggong, saya bimbang dengan tahap kemiskinan yang semakin meningkat di sini.
“Kekurangan peluang pekerjaan telah memaksa anak muda untuk meninggalkan Lenggong dan berhijrah ke bandar besar. Yang tinggal hanya orang tua yang melakukan kerja menoreh getah dan menangkap ikan.
“Saya terpanggil untuk bertanding dalam PRU15 dan berharap dapat membawa perubahan kepada Lenggong,” jelasnya.
Untuk Parlimen Lenggong, Jurey bakal berdepan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Barisan Nasional) dan Muhamad Rif’aat Razman (PAS-PN).