Isu LCS, Zahid akan ambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra - Utusan Malaysia

Isu LCS, Zahid akan ambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog, Raja Petra Kamarudin, yang menuduhnya menerima sogokan kira-kira RM66 juta berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan berunding dengan peguamnya bagi mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap penulis blog kontroversi itu.

“Sebelum melakukan tuduhan, beliau sepatutnya memiliki bukti atau dokumen (sahih), jika tidak, saya akan mengemukakan saman malu terhadap beliau.

“Banyak tulisan-tulisan Raja Petra berasaskan spekulasi daripada dirinya sendiri,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.

Dalam hantaran terbaharunya baru-baru ini, Raja Petra mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerima wang tersebut secara berperingkat antara 2012 dan 2013.

Beliau dilaporkan mendakwa ia dipermudah melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia, selain mendakwa mempunyai dokumen dan bukti berhubung dakwaan tersebut.

Menurut Ahmad Zahid, beliau mengenali dan menghormati Raja Petra secara peribadi tetapi dia mesti sanggup untuk menanggung akibat daripada tuduhan-tuduhan liarnya.

Beliau menjelaskan sebelum ini Raja Petra juga mendakwa setiap calon BN mesti menandatangani akujanji menyatakan sokongan supaya penyandang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

Bagaimanapun terangnya, dakwaan itu ternyata palsu kerana gambar dilampirkan menggunakan kepala surat UMNO sedangkan semua pemimpin UMNO dan BN bertanding atas tiket BN.

Justeru, beliau berpendapat Raja Petra tidak mempunyai kredibiliti dalam tulisan-tulisannya.

“Maka, saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang akan melakukan siasatan terhadap perkara itu kerana jelas tuduhan Raja Petra itu bukan sahaja tiada kredibiliti tetapi juga tidak mempunyai asas berkaitan tuduhan-tuduhan seperti itu,” jelasnya.

Ahmad Zahid juga menasihati semua calon dalam PRU15 agar menerangkan kebaikan diri dan parti masing-masing, tetapi jangan memburukkan pihak lawan.

Nasihat beliau, pengundi sudah cukup matang untuk menyatakan sokongan terhadap parti dan calon disukai mereka.

“Zaman untuk melakukan kecaman, kutukan atau fitnah terhadap parti atau calon pihak lawan adalah sesuatu yang berada di luar zaman kematangan berpolitik dan pengundi sendiri mengetahui cara itu sudah ketinggalan zaman,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.