Mukadimah
MENERAJUI UMNO Perlis buat pertama kalinya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diakui merupakan cabaran kepada DATUK SERI AZLAN MAN yang juga Menteri Besar.
Cabaran pilihan raya kali bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri mungkin tidak semudah seperti sebelum-sebelum ini selepas Datuk Seri Shahidan Kassim yang sinonim dengan UMNO Perlis bertanding atas tiket parti lawan sekali gus memberi kesan.
Bagaimanapun, Azlan tidak mudah mengalah sebaliknya kekal yakin dan optimis yang akar umbi parti akan terus memberi sokongan kepada parti untuk terus menerajui negeri ini.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, Pengerusi BN negeri itu menjawab pelbagai perkara berbangkit selain momentum dan sasaran kerusi dimenangi BN di Perlis dalam PRU15.
UTUSAN: Pertama kali mengetuai UMNO Perlis mendepani pilihan raya bagaimana datuk melihat cabarannya ?
AZLAN: Saya tidak nafikan sebagai pemimpin di peringkat negeri memang cabarannya banyak tetapi cabaran ini terpaksa kita hadapi dan kita perlu mencari solusi untuk menanganinya supaya isu ini akhirnya akan berbalik dan memihak kepada kita, insya-Allah.
Sebelum ini, calon Bebas Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin meramalkan BN tewas di Perlis, pandangan datuk ?
Sesiapa sahaja boleh bercakap sebelum keputusan yang sebetulnya keluar selepas pengundian pada 19 November ini. Masing-masing ada pandangan dan kita pun kata BN boleh menang, dalam jangkaan kita boleh membentuk kerajaan. Jadi sama, kalau tanya Pakatan Harapan (PH) pun sama, tanya PN pun sama boleh menang. Jadi sekarang kita sedang berusaha melipat gandakan usaha untuk memastikan kawasan-kawasan yang kita menang dapat dipertahankan. Kita juga melihat kawasan yang kita boleh rampas balik seperti Indera Kayangan misalnya kita lihat satu perkembangan yang cukup positif terutama dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Datuk melihat momentum BN selepas isu Shahidan ini ?
AZLAN : Kita sebenarnya terus meningkatkan lagi usaha kita mendapatkan sebanyak-banyaknya undi bagi memenangkan BN. Sasaran kita kalau boleh kita nak kekalkan 10 kerusi DUN yang kita menang dalam PRU14 dan kalau boleh nak tambah lagi Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan dan juga di Arau iaitu Guar Sanji yang nampak perkembangan yang positif. Guar Sanji antaranya momentum sangat positif kepada BN.
Di Bintong sendiri Datuk berdepan saingan enam penjuru, bagaimana peluang untuk menang?
Ya saya faham, sama juga di Kuala Perlis, Titi Tinggi dan sebagainya. Usaha kita tidak pernah luntur terus berusaha sehingga hari terakhir sebelum pengundian.
Difahamkan Shahidan berkempen juga di Bintong?
Dia Shahidan bukan sahaja di Bintong, tetapi, dia berkempen untuk jatuhkan semua calon BN di Perlis. Jadi, kita faham itu adalah adat dalam pilihan raya dan kita juga ada strategi kita tersendiri yang kita lakukan untuk pastikan kita mendapat kemenangan. Akar umbi akan melihat kepada elemen kestabilan dan itu yang menjadi pertimbangan kepada pengundi. – UTUSAN










