Indah, ceriakan masjid tiada unsur membazir

Indah, ceriakan masjid tiada unsur membazir

RAHIM Haron (tengah) menunjukkan hadiah kemenangan sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Peringkat Negeri di sebuah hotel di Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persekitaran masjid yang bersih dan ceria berpotensi menjadi salah satu unsur tarikan pelancongan di Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Masjid Al-Rahmah Taman Bukit Rambai, Rahim Haron berkata, masjid boleh menjadi lokasi pelancongan negeri sama seperti dilakukan hospital bagi tujuan pelancongan kesihatan.

Justeru, katanya, tidak timbul isu bahawa wujud unsur pembaziran bagi tujuan kebersihan serta mengindahkan kawasan masjid.

“Melaka adalah negeri pelancongan, maka aspek kebersihan dan keceriaan sangat penting. Mahu atau tidak, perbelanjaan mengindahkan masjid tetap perlu dikeluarkan termasuk belanja penyelenggaraan.

“Zaman sekarang tiada yang percuma, jadi tidak timbul unsur-unsur pembaziran. Usaha ini penting untuk menarik lebih ramai orang datang ke masjid.

“Semua orang hendak masuk dan singgah apabila masjid itu bersih. Kami sangat berdisiplin soal ini sehingga menyediakan petugas khas yang bertanggungjawab menyusun selipar jemaah yang hadir,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Peringkat Negeri di sebuah hotel di sini.

Masjid Al-Rahmah menerima wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan selepas diumumkan sebagai johan kategori antara masjid bagi dua tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan tersebut, Rahim berkata, pencapaian itu adalah atas sokongan para jemaah dan tujuh petugas yang sentiasa memastikan kebersihan dan keindahan landskap masjid terjaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN