Hidup berubah setelah menyertai AIM

Hidup berubah setelah menyertai AIM

FELICIA Janari bersama pekerjanya sedang mengisi habuk kayu ke dalam bekas untuk dijadikan bongkah tanaman cendawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA MARUDU: “Saya hampir putus asa sebelum ini kerana selalu gagal dalam apa juga usaha untuk meningkatkan taraf hidup namun semuanya berubah selepas saya menyertai Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) lima tahun lalu.

“Melalui pembiayaan dan bantuan AIM, saya kini mampu meningkatkan ekonomi diri dan keluarga,” kata Felicia Janari, 41, yang merupakan Sahabat Usahawan AIM Cawangan Matunggong dan pengusaha cendawan berjaya di daerah ini.

Ibu kepada empat anak berasal dari Kampung Karangawan, di sini juga meraih pendapatan lumayan melalui jualan hasil produk cendawan yang diusahakan di dua buah ladang miliknya, di sini.

Antara rahsia kejayaannya adalah pemasaran secara online, harga yang kompetitif serta penjagaan kualiti hingga penghasilan produk cendawan di bawah jenama Addel’s Agro Farm miliknya mendapat permintaan tinggi.

Felicia berkata, pihaknya membekalkan produk cendawan ke seluruh Sabah melibatkan pemborong, syarikat persendirian dan orang perseorangan termasuk IKS Mart yang terletak di Pekan Kota Marudu.

Katanya, terdapat tiga jenis cendawan yang diusahakannya iaitu cendawan tiram putih dan tiram kelabu termasuk cendawan Lingzhi yang masih dalam peringkat percubaan.

“Cendawan putih dan kelabu sama ada kering atau segar mendapat permintaan tinggi manakala jualan untuk kedua-dua produk ini mencapai hampir satu tan setiap bulan.

“Itu belum lagi tempahan bongkah tanaman cendawan mencecah 50,000 bongkah yang harus saya penuhi sehingga hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui di ladang cendawannya, di sini.
Selain itu kataya, syarikatnya juga menghasilkan produk penjagaan diri dan kosmetik berasaskan cendawan seperti serum muka, sabun badan serta ‘body scrub’ yang dapat berikan hasil terbaik untuk kecantikan diri.

“Pada masa sama, kami juga menghasilkan produk minuman kesihatan cendawan berperisa coklat malt,” katanya yang turut dibantu suami dan tiga orang pekerja tetap.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam bidang itu, Felicia berkata, semuanya bermula selepas menyertai kursus tanaman cendawan yang dianjurkan Unit Pembangunan Usahawan AIM ketika itu.

Katanya, selesai kursus, beliau mendapat pembiayaan AIM untuk membina rumah ladang cendawan pertamanya sebelum menambah sebuah lagi awal tahun ini di kawasan sama yang turut dilengkapi bilik khusus.

Bagi mengembangkan lagi perniagaannya, Felicia berhasrat membina sebuah mini kilang pemprosesan cendawan untuk hasilkan produk hiliran dan berharap AIM dapat membantu merealisasikannya.

Selain dana katanya, beliau juga perlukan peralatan dan mesin pemprosesan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap produk keluarannya yang kian meningkat saban hari.

“Saya yakin AIM akan membantu untuk merealisasikan usaha ini khususnya bantuan mesin pengadun habuk kayu untuk dijadikan bongkah dan mesin stim untuk proses memasak cendawan,” katanya dengan penuh harapan.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan produk Sahabat Usahawan AIM ini, boleh hubungi Felicia di talian 019-896 1748. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya