Henti jadikan SPRM ‘alat’ burukkan calon

Henti jadikan SPRM ‘alat’ burukkan calon

SPRM mengesahkan kertas siasatan melibatkan kes dakwaan penyelewengan pengurusan wang zakat MAINS kini dirujuk semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

.PETALING JAYA: Semua pihak diingatkan supaya berhenti menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik atau medan untuk memburuk-burukkan seseorang calon yang bertan­ding bagi menimbulkan persepsi kepada masyarakat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, beberapa maklumat diterima SPRM sejak 16 bilik gerakan dilancarkan agensi itu di seluruh negara pada 5 November lalu.

HISHAMUDDIN HASHIM

Namun kata beliau, hanya empat maklumat termasuk salah satunya merupakan laporan terhadap seorang calon yang dilihat mempunyai asas untuk diambil tindakan lanjut.

Kata beliau, kesemua maklumat diterima membabitkan dua di Lembah Klang manakala masing-masing satu di Johor dan Pahang.

“Bilik gerakan yang kita buka membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku sepanjang tempoh PRU15 ini.

“Kita bukan sahaja menerima maklumat bagi tempoh PRU-15 ini tetapi selepas PRU-15 juga SPRM bersedia menerima apa sahaja maklumat mengenai ra­suah, penyelewengan dan salah laku yang berada di bawah bidang kuasa kita,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Hishamuddin, setiap maklumat yang dikemukakan tidak kira di bilik gerakan secara bersemuka, mahupun secara dalam talian akan dikaji terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Penelitian itu bagi memastikan sama ada terdapat kesalahan rasuah atau tidak. Ianya termasuklah keterangan yang diambil SPRM melibatkan pihak-pihak yang hadir mengemukakan maklumat tersebut.

“Dalam hal ini, kita tidak mahu melakukan siasatan secara semberono kerana maklumat yang diberikan hanya untuk mengenakan individu tertentu,” jelasnya.

Kata Hishamuddin, sepanjang tempoh sama juga, ada juga pihak yang menghubungi SPRM sekadar membuat pertanyaan melibatkan isu-isu rasuah dalam PRU-15.

“Kita bukan sahaja menerima aduan yang dikemukakan menerusi emel dan telefon. Tetapi pegawai kami juga ada memantau laporan di media sosial dan sekiranya dilihat mempunyai asas pegawai terlibat akan mencadangkan siasatan dilakukan.

“Selain itu, SPRM juga ada pegawai yang membuat pemantauan dilapangan dengan mengikuti kempen-kempen parti politik. Jika ada isu salah guna kuasa dibangkitkan kita akan teliti sumber-sumber maklumat diperoleh,”katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya