fbpx

Harimau akar masuk rumah, warga emas cedera dicakar di kening 

HARIMAU akar yang ditangkap anggota Perhilitan menggunakan ubat pelali di Kampung Sentang di Lipis, Pahang. - IHSAN IPD LIPIS

LIPIS: Sepasang suami isteri  berusia 55 dan 58 tahun berdepan detik cemas selepas seekor harimau akar menceroboh masuk ke rumah mereka di Kampung Sentang, berdekatan Pagar Sasak, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, haiwan liar berkenaan menceroboh ke dalam rumah pasangan terbabit dan melompat ke atas katil lalu mencakar kening Faridah Ishak, 58, yang mengalami penyakit strok sehingga mengalami luka kecil di bahagian kening.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, menurut laporan anak saudara pasangan warga emas itu, ketika kejadian, harimau tersebut mengejar seekor kucing sehingga masuk ke dalam rumah melalui pintu depan.

“Melihat seekor harimau akar, warga emas lelaki  yang juga suami Faridah berusia 55 tahun cuba menghalaunya, tetapi haiwan liar itu melompat ke atas katil dan mencakar kening wanita berkenaan yang terlantar di atas katil akibat penyakit strok. Mangsa cuma mengalami luka kecil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, berikutan kejadian tersebut, anak saudara pasangan warga emas itu membuat aduan di Pondok Polis Pagar Sasak.

“Anggota dari Pondok Polis Pagar Sasak ke lokasi dan mendapati penduduk mengepung harimau itu yang berada di bawah rumah pasangan warga emas tersebut.

Katanya, Renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap haiwan liar tersebut pada pukul 12.45 pagi ini dengan menggunakan ubat pelali.

“Wanita yang luka di kening dirawat oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Padang Tengku,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10000 milliseconds with 0 bytes received