SHAH ALAM: Pentas suku akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) menyaksikan Asheed terpaksa pulang dengan hampa apabila perjuangan untuk mara ke pentas final program tersebut terhenti, malam tadi.
Asheed yang menbawakan lagu Lena Diulit Mimpi nyanyian asal kumpulan Wings mendapat markah 58.60 peratus.
Menurut juri, Hetty Koes Endang, Asheed terlalu selesa dengan lagu yang dibawa menyebabkan dia berada pada kedudukan rapuh.
“Lagu ini memang sesuai dengan warna vokal kamu. Okey bagus, tapi persembahan peserta yang sebelum kamu lagi bagus.
“Pada awal lirik jangan dipaksa kerana setiap kata demi kata ada erti. Kita ketika menyanyikan sesebuah lagu, jangan terburu-buru,” katanya.
Sementara itu, Shila Amzah melangkah selesa pada kedudukan pertama apabila mempamerkan persembahan bertenaga menerusi lagu Survivor nyanyian asal kumpulan Destiny’s Child.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Shila membawa pulang Anugerah Bintang Adabi dan menerima wang tunai RM1,000 serta barangan Adabi bernilai RM500.
Terdahulu, Anugerah Next Level Digi pada minggu kelapan dimenangi Asheed yang membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala kumpulan VE terpilih menerima Bintang Cuckoo Paling Gempak.
GV9 yang mula bersiaran 18 September lalu menampilkan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sebagai pengacara.
Selain Hetty Koes Endang, pertandingan itu turut diadili Datuk Ramli MS sebagai Ketua Juri dan Datuk Syafinaz Selamat
Juara akan membawa pulang wang tunai RM100,000, manakala naib juara pula akan menerima RM50,000, diikuti tempat ketiga dengan RM30,000.
Berikut ialah keputusan peserta pada minggu ini:
SHILA AMZAH: 85.30
HAZRUL NIZAM: 81.00
JACLYN VICTOR: 80.50
BOB YUSOF : 79.70
DINA NADZIR: 77.80
FUAD RAHMAN: 72.20
ТОМОК: 67.30
VE: 64.20
ASHEED: 58.60