Graduan autisme terima Anugerah Pingat Emas USM - Utusan Malaysia

Graduan autisme terima Anugerah Pingat Emas USM

OOI IVAN (kanan) dan Arief Ferdaus Azmi menunjukkan pingat emas masing-masing dalam sidang akhbar sempena Upacara Konvokesyen Ke-60 USM, di Bangunan Canselori USM, Pulau Pinang hari ini. Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Biarpun berdepan masalah sukar menumpukan perhatian dalam tempoh lama, graduan autisme (hiperaktif) dari Universiti Sains Malaysia (USM), Ooi Ivan, 24, berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas USM (anugerah graduan cemerlang kelainan upaya).

Ivan yang juga pembaca setia surat khabar Kosmo berkata, dia sangat terhutang budi kepada kakitangan USM yang sangat berdedikasi dan banyak membantu sepanjang menuntut di universiti berkenaan.

Dia yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL) berkata, persekitaran USM yang mesra OKU juga banyak membantunya ketika berdepan masalah menumpukan pembelajaran selain ketika berasa resah semasa di dalam kelas.

“Salah satu cabaran ketika belajar ialah saya mudah resah, dan sukar tumpukan perhatian di dalam waktu yang lama.

“Emosi saya juga tidak stabil sekiranya berada di dalam kawasan yang ramai orang, jadi semasa peperiksaan saya akan meminta jasa baik USM meletakkan saya di bilik berasingan,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar sempena Upacara Konvokesyen Ke-60 USM di sini hari ini.

Ivan yang mahu bergelar pendidik berkata, dia gemar membaca bagi mengurangkan simptom keresahan dan surat khabar Kosmo merupakan salah satu sumber bacaan utamanya setiap hari.

“Saya membaca surat khabar berbahasa Melayu sejak berusia 10 tahun dan mula membaca Kosmo pada 2011 kerana harganya murah kerana dijual pada harga 80 sen ketika itu.

“Sejak itu saya tidak berhenti membeli dan membaca surat khabar Kosmo sehingga ditamatkan penyiaran pada 2019, ketika itu saya amat sedih kerana kehilangan bahan bacaan utama.

“Selepas Kosmo diterbitkan semula pada 2020, saya terus membeli Kosmo untuk dijadikan bahan bacaan bagi meredakan tekanan semasa belajar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi graduan cemerlang yang memperoleh Hadiah Pingat Emas Canselor (anugerah pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan), Arief Ferdaus Azmi, 22, berkata, dia bersyukur kerana dapat mengikuti jurusan bahasa Inggeris untuk profesional itu sehingga berjaya dinobatkan sebagai salah seorang graduan cemerlang USM.

Jelasnya, jurusan itu dipilih ibunya, Norliza Abdul Rahman, 50-an, yang mahu dia belajar dalam bahasa Inggeris kerana mahu melihatnya mahir dalam bahasa berkenaan.

“Saya bersyukur kerana mengikut pilihan ibu dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa Inggeris untuk profesional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya