Gangguan perkhidmatan LRT: Operasi baik pulih dalam keadaan lancar - Utusan Malaysia

Gangguan perkhidmatan LRT: Operasi baik pulih dalam keadaan lancar

SUASANA orang ramai menunggu bas untuk ke tempat kerja berikutan perkhidmatan sistem LRT Laluan Kelana Jaya yang dihentikan sementara bermula hari ini hingga 15 November. - UTUSAN-MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memaklumkan operasi baik pulih perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berjalan lancar selepas beberapa analisis dan penambahbaikan dijalankan ke atas tren tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, pihak Rapid Rail Sdn. Bhd. telah mengadakan ujian pergerakan ke atas 10 tren LRT sepanjang laluan Kelana Jaya dari Ampang Park ke KLCC, lewat malam tadi.

Menurutnya, ujian pergerakan itu diadakan untuk memastikan pergerakan tren berjalan lancar selain ia penting diadakan bagi menganalisis log yang dijana bagi mengenal pasti punca untuk analisis yang selanjutnya.

“Dari segi teknikal, kami telah buat analisis, dan salah satu daripada tren itu perlu dikendalikan secara manual jadi kami telah membuat penambahbaikan dengan menambah bekalan kuasa kereta api dan juga menukar modem.

“Penambahbaikan sistem LRT ini juga akan diketuai pakar jurutera luar negara, iaitu pasukan khas dari Thales Group Original Equipment Manufacturer (OEM) dari Toronto, Kanada untuk menyiasat lebih lanjut dan mengenal pasti punca utama kerosakan tren,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, RapidKL mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Jaya yang melibatkan 16 stesen dihentikan selama tujuh hari mulai 9 November hingga 15 November selepas berdepan dengan gangguan sistem.

Tambah Azharuddin, Prasarana juga akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama bagi menangani masalah gangguan sistem LRT iaitu penambahan bas perantara, tambang percuma untuk penumpang terjejas, menyediakan kemas kini terkini bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahan pekerja di stesen yang terjejas bagi mengawal trafik pergerakan.

“Rapid bas akan menyediakan bas perantara tambahan bagi membantu mengurangkan masalah menunggu, selain kami juga menerima tambahan 20 bas sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor yang akan digunakan sebagai bas perantara bagi mengangkut penumpang-penumpang di stesen LRT yang terjejas.

“Jadi secara keseluruhannya, lebih daripada 100 buah bas perantara telah disediakan pada hari ini, dan pada masa yang sama, seramai 80 orang daripada kakitangan warga Prasarana ditempatkan di stesen-stesen untuk membantu mengawal pergerakan penumpang dan memberi panduan untuk mereka menaiki bas perantara,” katanya.

Jelasnya, pihak Rapid Rail akan memberi pampasan bagi penumpang yang terjejas disebabkan gangguan sistem itu selepas operasi dan perkhidmatan LRT diselesaikan.

Sementara itu, seorang pelajar di sebuah universiti swasta, Nik Shakira Nik Nadhirah berkata, sejak pengumuman perkhidmatan LRT itu ditutup untuk sementara waktu, rutin hariannya banyak terkesan selain ia banyak memakan masanya sebagai seorang pelajar.

“Saya terpaksa bangun awal kerana terpaksa menggunakan e-hailing untuk pergi ke kelas. Walaupun memang ada bas yang disediakan berdekatan kawasan perumahan, namun saya tidak mahu menggunakan alternatif tersebut.

“Ini kerana laluan bas menggunakan jalan yang panjang, dan waktu operasi bas tersebut adalah bersamaan dengan waktu kemuncak, saya tak sanggup menghadap kesesakan jalan raya, jadi bagi saya jika guna e-hailing lebih cepat untuk sampai ke kelas. 

Seorang lagi pengguna LRT yang hanya ingin dikenali sebagai Zul berkata, disebabkan gangguan perkhidmatan itu ia telah memakan banyak belanja yang besar untuk dirinya.

“Banyak perbelanjaan yang saya perlu keluarkan sejak gangguan LRT ini, kadang-kadang pergi dan balik dari pejabat sahaja sudah memakan belanja sehingga RM40 untuk menaiki perkhidmatan e-hailing.

“Duit terbuang begitu sahaja, jadi pembaziran yang banyak berlaku hanya untuk pergi dan balik ke pejabat, tak berbaloi langsung,” katanya.

Zul juga berharap agar perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi kelak kerana banyak golongan yang terjejas dan menyusahkan ramai rakyat terutamanya yang menggunakan pengangkutan awam.

Pada masa yang sama, pegawai Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata, tiada kesesakan mahupun gangguan lalu lintas yang berlaku akibat penutupan LRT itu.

“Tiada apa-apa kesesakan luar biasa yang berlaku akibat kejadian itu, trafik dan keadaan lalu lintas pada waktu pagi dan petang berjalan seperti biasa, dan jika ada kesesakan pun, hanya kesesakan pada waktu puncak sahaja, dan itu perkara biasa yang berlaku saban hari,” katanya.

Pada masa yang sama, penumpang LRT juga berdepan risiko keselamatan yang tinggi apabila seorang wanita menjadi mangsa samun selepas terpaksa menggunakan laluan alternatif akibat pengangkutan awam itu tergendala di Stesen LRT Sri Rampai, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 pagi, akauntan wanita itu sedang berjalan seorang diri dari Stesen LRT Sri Rampai menuju jalan Simpang Desa Putra dekat sini selepas perkhidmatan LRT dihentikan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa kemudiannya didatangi sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba.

“Salah seorang daripada suspek kemudian telah meragut beg mangsa yang mengandungi komputer riba dan sebuah telefon bimbit.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Ashari, keterangan mangsa akan diambil petang ini oleh pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

“Satu laporan telah dibuat oleh mangsa di balai polis Wangsa Maju.

“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak dapat mengecam jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki oleh dua suspek tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya