fbpx

Enam keluarga terselamat daripada kebakaran rumah

DERETAN rumah separa kekal jenis kayu dan papan yang musnah dalam kebakaran di Pekan Lama, Sungai Petani, Kedah. - FOTO/OTHMAN YAHAYA

SUNGAI PETANI: Tindakan pantas penghuni keluar menyelamatkan diri berjaya mengelak daripada terlibat dalam kejadian tidak diingini walaupun deretan rumah mereka yang berusia 40 tahun di Pekan Lama di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.13 malam itu, lima buah rumah separa kekal itu hangus sepenuhnya, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus dalam kebakaran yang berlaku ketika sebahagian penghuni berada di rumah masing-masing.

Salah seorang mangsa Ooi Wai Ling, 62, berkata, dia baru selesai menikmati makan malam bersama dua adik lelakinya yang berusia 60 dan 58 tahun di rumah yang disewa mereka sejak 18 tahun lalu itu.

“Saya baru duduk di ruang tamu untuk menonton televisyen sebelum tiba-tiba terhidu bau busuk seperti plastik terbakar lalu meminta salah seorang adik melihat di dapur rumah kami.

“Adik saya kemudian memaklumkan dia melihat asap daripada salah sebuah rumah di bahagian tengah sebelum mengajak kami bertiga keluar menyelamatkan diri dengan segera,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi mangsa, Law Lee Kheng, 60, berkata, semasa kejadian dia sedang mengemas bahagian dapur rumah mereka sebaik selesai makan malam berseorangan.

“Anak lelaki dan menantu saya ketika itu sedang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan berdekatan sini. Saya terkejut mendengar jeritan orang menyebut api dan terus berlari keluar melalui pintu dapur sebelum melihat api telah membakar dinding rumah saya,” katanya.

Sementara itu, M. Dewi, 38, berkata, ketika kejadian dia bersama suami, Ang Hang Peng, 42, dan dua anak mereka berumur 13 dan 14 tahun tidak berada di rumah kerana keluar makan malam di sebuah kedai berdekatan.

“Kami terus bergegas pulang setelah dimaklumkan oleh kenalan bahawa rumah kami terbakar dan ketika tiba mendapati api sedang marak membakar enam unit rumah. Walaupun kami kerugian kerana semua pekakas rumah dan dokumen penting terbakar tetapi bersyukur kerana semua jiran terselamat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Ismail Zain berkata, dua jentera yang turut dibantu BBP Aman Jaya dan jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bakar Arang, Bedong dan Sungai Petani bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Selepas 10 minit, api berjaya dikawal dan pemeriksaan mendapati selain enam rumah terbabit terbakar, sebuah motosikal turut dikesan terbakar namun tidak membabitkan kecederaan kepada penghuninya,” katanya.

Kata Ismail, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami enam keluarga di situ.

Kesemua mangsa kini menumpang di rumah keluarga masing-masing dan sebuah tokong yang terletak di Pekan Lama. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN