Juara Awesome Raja Lawak, Soda ingat pesanan Saiful Apek

Dinobat juara Awesome Raja Lawak, Soda ingat pesanan Saiful Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dinobat sebagai juara Awesome Raja Lawak (ARL) musim pertama, kumpulan Soda yang dianggotai Danny dan Sofwan, melihat pencapaian itu sebagai tiket untuk mereka menceburi bidang seni secara lebih serius.

Menurut Sofwan, kemenangan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka memandangkan peserta lain yang mara ke peringkat final bukan calang-calang.

“Sejujurnya kami tidak jangka dapat pergi sejauh ini. Dapat masuk ke peringkat final pun sudah buat kami tidak percaya, apatah lagi muncul juara. Kami berdua mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik dalam persembahan.

“Apabila diangkat sebagai juara musim pertama, kami anggap ia sebagai bonus.
Insya-Allah, selepas ini, kami akan cuba meneroka bidang seni, terutama bidang komedi dengan lebih serius.

“Kami hanya mencuba apa yang termampu, selebihnya kami berserah kepada ketentuan Allah. Mana tahu ada rezeki kami dalam mana-mana platform lain selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Danny berkata, dia dan rakan seperjuangannya akan terus memegang pesanan juri program ARL, Saiful Apek, yang menaruh harapan besar untuk melihat Soda mara menjadi pelawak berkualiti dalam industri hiburan.

“Ia sudah jadi seperti satu amanah. Insya-Allah kami akan cuba lakukan seperti yang dipesan oleh abang Apek. Kami anggap kemenangan ini sebagai usaha meneruskan legasi pelawak tanah air dengan persembahan yang bermutu.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong dan meletakkan kepercayaan kepada bakat yang kami ada,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Soda membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM50,000. Final ARL berlangsung di De Showroom Studio, kelmarin.

Naib juara pula menjadi milik kumpulan Se’eh yang menerima trofi dan wang tunai RM25,000, manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Mabo yang meraih RM15,000 dan trofi.

Terdahulu, kumpulan Mabo menjadi peserta bertuah apabila diserap masuk semula secara ‘wild card’ untuk berentap di gelanggang akhir bersama lima peserta lain iaitu kumpulan Se’eh, Sedare, Soda, Manja dan Azhar.

Tempat keempat diraih peserta solo, Azhar, manakala kumpulan Sedare mengakhiri perjuangan pada tempat kelima dan Manja (keenam).

Pada gelanggang akhir ARL yang bertemakan persembahan Bebas dan Muzikal itu, sketsa komedi enam finalis diadili tiga juri profesional iaitu pelawak otai, Saiful Apek, pelakon, Khir Rahman dan penyanyi, Ayda Jebat.

Ia dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md. Nasir Ibrahim dan isteri.

Persembahan akhir ARL turut dihadiri alumni Raja Lawak seperti Tauke Jambu, Atu Zero, Ajak Shiro, Issey dan Ammar Titan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya