Datuk D calon PKR terkaya aset lebih RM100 juta

Datuk D calon PKR terkaya aset lebih RM100 juta

Mohd. Suparadi Md. Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon PKR bagi Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor, 62, menjadi calon terkaya parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila memiliki aset bersih berjumlah sehingga RM106.1 juta.

Menurut laman calonkeadilan.org, nilai itu menyaksikan beliau mengatasi 40 calon yang sudah mengemaskini dokumen pengisytiharan harta mereka, setakat pukul 11 pagi kelmarin.

Aset bersih Ketua Cabang Tanah Merah yang diisytiharkan setakat 30 September itu meliputi wang tunai di bank yang berjumlah RM300,000; 40,000 unit saham di DSN Capital Sdn. Bhd. yang bernilai RM400,000 dan 20,000 unit saham di iLimo Stalite Ltd. (P&G) yang bernilai RM100 juta.

Selain itu, Mohd. Supardi yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 kali ini mempunyai tiga unit kediaman yang bernilai sehingga RM5.3 juta dan sebuah kenderaan berjenama BMW yang bernilai RM100,000.

Sementara itu, calon PKR Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan pula memiliki nilai aset bersih kedua tertinggi yang berjumlah RM63.5 juta diikuti Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang bertanding Parlimen Pandan dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.8 juta dan Calon Parlimen Sibuti, Zolhaidah Suboh dengan RM11.2 juta.

Dalam pada itu, selain empat calon tersebut, seramai 17 calon parti itu yang sudah mengemaskini dokumen pengisytiharan harta di laman itu memiliki nilai aset bersih lebih RM1 juta.

Antaranya adalah calon Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dengan aset bersih bernilai RM5.6 juta; calon Sungai Besar, Saipolyazan Mat Yusop (RM5.5 juta); calon Subang, Wong Chen (RM5 juta), calon Selangau, Umpang Anak Sabang (RM3.6 juta) dan calon Dungun, Datuk Dr. Johari Mohamad (RM3.5 juta).

Calon Pagoh, Iskandar Shah Abd. Rahman pula mempunyai aset bersih bernilai RM 2.8 juta, calon Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dengan aset bernilai RM2.7 juta, manakala calon Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz memiliki aset bernilai RM2.6 juta.

Noraini Abd. Ghapur yang bertanding di Parlimen Kalabakan mempunyai aset bersih berjumlah RM1.9 juta, calon Bayan Baru, Sim Tze Tzin (RM1.4 juta) dan calon Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (RM1.2 juta).

Bagaimanapun, sehingga pukul 6 petang semalam, nama-nama besar parti itu seperti, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar masih belum mengemaskini dokumen pengisytiharan harta mereka.

Malah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang masing-masing dinamakan di Parlimen Port Dickson dan Gombak juga belum mengemaskini dokumen tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN