Dadah: Rayuan keputusan bebas Jason Lo didengar April 2023 - Utusan Malaysia

Dadah: Rayuan keputusan bebas Jason Lo didengar April 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan penyanyi Jason Lo daripada tuduhan memasukkan dadah dalam badan akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 April 2023.

Tarikh tersebut ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar pada pengurusan kes itu di sini hari ini. Rayuan akan didengar oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo ketika dihubungi media selepas prosiding pengurusan kes tersebut.

“Perayu (pendakwaan) dan responden (Jason) diminta memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 24 Mac dan 3 April 2023,” kata peguam itu.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan dan seorang lagi peguam Jason iaitu Effa Azuin Aidrul Hisham.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Jason yang juga bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi tempatan daripada tuduhan memasukkan dadah ke dalam tubuh badannya, tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif ketika itu memutuskan untuk tidak memanggil Jason untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie.

Jason, 47, sebelum ini dituduh memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badan pada pukul 5.15 petang, 15 November 2019 di tandas Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Jalan Travers di sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan wajib diletakkan bawah pengawasan tidak kurang dua tahun dan atau tidak melebihi tiga tahun.

Pada 13 Mei lalu, pihak pendakwaan telah menutup kes itu selepas memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan.

Sepanjang perbicaraan kes itu bermula pada 6 April 2021, antara saksi-saksi yang dipanggil ialah pegawai kimia dan pegawai penyiasat serta pegawai yang menjalankan saringan ujian air kencing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya