Chong Wei beri sokongan kepada calon BN Kulai

Chong Wei beri sokongan kepada calon BN Kulai

LEE CHONG WEI (kiri) melaungkan masa untuk bertemu dengan Chua Jian Boon di Indahpura, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kulai, Chua Jian Boon menerima suntikan semangat dalam kempennya apabila mendapat sokongan padu daripada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Jian Boon yang juga Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA berkata, Chong Wei turut memberikan nasihat supaya beliau tidak mudah berputus asa dalam perjuangan politik.

“Saya berterima kasih kepada beliau kerana memberikan kata-kata semangat dan juga sokongan kepada saya serta kesudiannya meluangkan masa untuk datang ke Kulai dan bertemu dengan saya.

“Walaupun dia sudah bersara, dia tetap datang bagi semangat kepada saya selaku calon muda daripada BN. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada beliau kerana hadir dan membantu saya menarik sokongan anak muda,” katanya ketika mengadakan tinjauan mesra di Indahpura, di sini hari ini.

Jian Boon berkata, Chong Wei turut meluangkan masa dengan menandatangani beberapa bahan kempen miliknya termasuk kemeja T BN Kulai.

“Sebelum ini memang saya sudah bertemu dengan beliau beberapa kali, malah kami turut berkongsi tarikh hari lahir yang sama, iaitu pada 21 Oktober, namun kali ini dia bertemu saya selaku seorang calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebenarnya terkejut juga apabila dimaklumkan beliau ada datang ke Kulai, tetapi saya amat berterima kasih. Saya juga akan berpegang dengan nasihat beliau agar teruskan perjuangan dan tidak mudah mengalah.

“Saya rasa itu antara sifat positif yang boleh kita pelajari daripada beliau, iaitu walaupun tewas, tetapi jangan mengalah, terus lakukan yang terbaik,” katanya. 

Bekas pemain nombor satu dunia itu meluangkan masa kira-kira satu jam bersama Jian Boon yang sedang berkempen sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kulai dan berkesempatan bertemu seorang lagi calon BN, Datuk Nicole Wong yang bertanding di kerusi Parlimen Tebrau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya