Calon Warisan gariskan lapan tekad utama ubah wajah Bugaya

Calon Warisan gariskan lapan tekad utama ubah wajah Bugaya

KAMPUNG Lihak-Lihak, Semporna yang berada di kawasan DUN Bugaya. UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan (Warisan), Jamil Hamzah menggariskan lapan tekad utama bagi mengubah wajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada masa akan datang.

Jamil, yang merupakan muka baharu dalam politik Sabah itu berazam untuk meningkatkan taraf ekonomi dan kualiti hidup rakyat di Bugaya tanpa meminggirkan sesiapa pun.

Beliau berkata, sekiranya diberikan kepercayaan dan mandat oleh pengundi Bugaya, beliau akan memperjuangkan pembangunan kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik yang stabil, akses kepada bekalan air bersih, kemudahan jalan raya yang baik serta perkhidmatan internet yang berkualiti.

Di samping itu, beliau juga akan berusaha memperkasa pendidikan agar tiada anak-anak yang tercicir daripada mendapat pendidikan yang seimbang dan berkualiti.

Katanya, beliau juga akan memberi fokus kepada pemerkasaan anak muda melalui program pengukuhan ekonomi dan modal insan.

Mengambil kira peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi, Jamil mahu memastikan jurang pendapatan dapat dirapatkan melalui konsep ‘2K’ (1 Keluarga, 1Kemahiran) kerana inisiatif ini diyakini dapat meningkatkan peluang menjana pendapatan dan ekonomi keluarga.

Menurut beliau, isu peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda di DUN Bugaya juga harus diberi perhatian.

Justeru, beliau akan membawa masuk lebih banyak industri berasaskan hiliran dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan ke kawasan itu.

Pada Pilihan Raya Kecil (PKR) DUN Bugaya, Jamil berhadapan persaingan tujuh penjuru menentang Karil Pg Kuraini mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohd. Hassan Abu Bakar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nazmawati Walli daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zulfadzli Shi Ahmad (Bebas), Abdul Aziz Mohd. Ibno (Barisan Nasional) dan Arastam Pandorog dari Pakatan Harapan (PH).

Kerusi DUN Bugaya diisytiharkan kosong setelah penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.

Namun, PRK di kawasan DUN itu ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat dilakukan susulan pandemik Covid-19.

Proklamasi darurat di DUN Bugaya ditamatkan pada 7 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Kemudian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pelaksanaan PRK DUN Bugaya serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN