Calon wanita tunggal di Terengganu tak patah semangat

Calon wanita tunggal di Terengganu tak patah semangat

NORAISAH Hasan (kanan) menemui penduduk ketika berkempen di Dungun, Terengganu, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Calon wanita tunggal Terengganu yang dipertaruh Gerakan Tanah Air (GTA-Pejuang) di Parlimen Dungun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diterima baik penduduk walaupun masih muda.

Malah, Noraisah Hasan, 32, berkata, dia tidak kekok berkempen di sekitar bandar ini walaupun tidak mempunyai pengikut yang ramai berbanding calon-calon daripada parti lain.

“Alhamdulillah, walaupun saya satu-satunya calon wanita dan PRU15 ini cubaan kali pertama saya dalam politik, pengundi di sini menerima baik kehadiran saya ketika turun berkempen.

“Setakat ini, apabila saya berkempen, mereka (pengundi) mendengar apa yang saya pejuangkan terutama bagi membantu meningkatkan ekonomi pengundi di Parlimen ini.

“Walaupun saya tak tahu nanti mereka akan mengundi saya atau tidak, tetapi saya bersyukur diterima baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Anak kelahiran Kampung Seberang Pintasan dekat sini itu berkata, perkembangan tersebut memberi petunjuk positif terhadap golongan wanita yang semakin diterima sebagai Ahli Parlimen.

“Walaupun suami dan ibu berlainan politik, mereka turut membantu saya berkempen dan bangga saya masuk bertanding,” katanya.

Noraisah yang membesar dan menetap di Gombak, Selangor, berkata, dia tidak gentar meskipun bakal berdepan dengan saingan empat calon lain dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen tersebut.

“Saya akui paling junior dan muda berbanding calon-calon lain, namun ia bukan penghalang buat saya untuk bertanding,” katanya.

Calon lain yang bertanding di Parlimen Dungun ialah Wan Hassan Mohd. Ramli mewakili Pas, Nurhisam Johari (Barisan Nasional), Datuk Dr. Mohd Johari Mohamad (Pakatan Harapan) serta calon Bebas, Ghazali Ismail.

Dalam pada sama, Noraisah yang mengusahakan kolam ternakan ikan, lembu dan perniagaan lain berkata, walaupun sedar sokongan parti itu tidak terlalu ramai di Parlimen itu, ia tidak mematahkah semangatnya untuk bertanding.

“Saya ingin membantu keluarga berpendapatan rendah sebab di Parlimen Dungun masih ramai yang susah, selain membantu penduduk dengan membawa lebih banyak peluang pekerjaan dan bantuan ekonomi setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN