MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang menghidap masalah saraf otak membengkak memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM35,000 bagi menampung kos pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kuala Lumpur.
Bapanya, Mohd. Faizal Zakaria, 42, berkata, Ammar Danis dikesan mengalami masalah tersebut ketika berusia tiga tahun apabila sering mengadu sakit kepala yang turut mengganggu pergerakannya.
Katanya, pada 2015 saluran darah otak kanak-kanak itu pecah menyebabkan anak sulung daripada dua beradik berkenaan menjadi cepat penat, lenguh kaki dan masalah tangan sebelah kanan.
“Ammar Danis menjalani pembedahan pertama melibatkan kos RM30,000 dan pulih seperti biasa. Namun baru-baru ini sewaktu buat rawatan susulan, doktor mengesan ada urat lain yang membengkak dan memerlukan menjalani pembedahan lain.
“Pembedahan kedua ini kosnya sebanyak RM35,000, namun saya menghadapi masalah kewangan untuk mencari wang sebanyak itu. Pembedahan perlu dilakukan segera jika tidak ia akan memberi kesan yang teruk kepada anak saya.
“Sedih melihat anak sulung saya ini sering mengadu sakit badan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini.
Mohd. Faizal yang bekerja sebagai operator kanan di sebuah kilang berkata, anaknya itu kelihatan seperti kanak-kanak normal dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, namun hakikatnya tidak seaktif kanak-kanak seusianya.
“Saya sangat berharap dan berterima kasih kepada orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan, membantu Ammar Danis menjalani pembedahan dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang melalui akaun Maybank, 104068261720 (Mohd. Faizal Zakaria). – UTUSAN