Bot nelayan tempatan ditahan guna pukat tunda - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan ditahan guna pukat tunda

SEBUAH bot nelayan tempatan kelas C ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan 12.96 kilometer barat daya Pulau Kendi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Kapal Maritim (KM) SIKUATI mengesan sebuah bot nelayan kelas C sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 12.96 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.15 pagi.

Hasil pemeriksaan kata beliau, bot nelayan tempatan kelas C yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tiga warga tempatan termasuk tekong berumur antara 49 hingga 61 tahun.

”Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bot bersama kru, peralatan menangkap ikan serta ikan campur seberat kira-kira 30 kilogram (kg) disita dan dibawa ke Jeti Lembaga Ikan Malaysia Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon maritim negara demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.

”Orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya