BN pertimbang tiga perkara sebelum bentuk kerajaan Pahang

BN pertimbang tiga perkara sebelum bentuk kerajaan Pahang

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Barisan Nasional (BN) Pahang mempertimbangkan tiga perkara dalam rundingan yang diadakan secara bersama dengan mana-mana blok parti politik sebelum mengambil keputusan membentuk kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertama, BN Pahang berpendirian bahawa kerjasama antara blok merupakan satu pendekatan baharu yang mesti menjadi pilihan sekali gus membuktikan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN) demi kebaikan rakyat.

Beliau berkata, kedua, BN Pahang mendapati bahawa sebarang pilihan kerjasama mesti dilakukan dengan mengambil kira keupayaan gabungan untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa yang sama, beliau berkata, kombinasi kerajaan negeri haruslah mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negeri ini.

“Ketiga, BN Pahang percaya bahawa pembentukan kerajaan negeri yang baharu ini perlu turut selari dengan kerajaan Perpaduan yang dibentuk di peringkat Persekutuan.

“Ini bagi memastikan pentadbiran serta segala perancangan yang dibuat demi pembangunan negeri Pahang dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, berdasarkan pertimbangan dan senario yang sudah diperhalusi dengan penuh berlapang dada ini, akhirnya BN dan PH mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan negeri bersama-sama. 

Beliau berkata, melalui kerjasama baharu ini, beliau dipilih menjadi Menteri Besar dan satu barisan exco baharu yang melibatkan kedua-dua blok BN dan PH akan dibentuk dalam masa terdekat.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri yang dibentuk ini adalah sebuah kerajaan yang mewakili dan akan berkhidmat untuk semua. Saya akan memastikan segala sentimen politik dan perbezaan ideologi dikesampingkan, dan satu-satunya perkara yang menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah kestabilan dan kemakmuran Pahang.

“Pasukan kerajaan negeri yang baharu dibentuk ini akan sebaik mungkin memastikan Belanjawan 2023 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal yang lalu dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

“Buat masa ini, fokus utama kerajaan negeri adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah yang lebih baik dan positif,” katanya.

Menurutnya, beliau bersama seluruh pasukan kerajaan negeri akur dan sedar pelantikan ini merupakan amanah dan tanggungjawab besar serta mesti dilunaskan dengan idea, kudrat dan ikhtiar terbaik.

“Saya juga berharap bahawa blok PN akan menjadi pembangkang yang sentiasa tegas, objektif dan mampu menjalankan fungsi semak dan imbang yang selayaknya,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya