Bersihkan Malaysia daripada rasuah misi utama Ravinder

Bersihkan Malaysia daripada rasuah misi utama Ravinder

RAVINDER SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA usia 80 tahun, RAVINDER SINGH sepatutnya menikmati usia persaraan bersama keluarga.

Namun, bekas guru ini memilih ke gelanggang politik selepas bersetuju menjadi calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi kerusi Parlimen Bayan Baru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI, Ravinder menjelaskan mengapa beliau mengambil keputusan bertanding dalam pilihan raya pada usia emas.

UTUSAN: Pada usia 80 tahun, ramai yang mungkin menyangka anda tidak sepatutnya bertanding, tetapi mengapa memilih turun ke gelanggang politik?

RAVINDER: Sejak 1970-an saya sudah aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Saya melihat berlakunya ketidakstabilan dalam politik negara ini selepas PRU14, jadi saya memilih menyertai PRM kerana percaya dengan perjuangan parti ini yang mahu menjadikan Malaysia negara bebas rasuah dan mahu mengembalikan negara ke landasan yang betul.

Anda kelihatan sihat dan bertenaga ketika berkempen, boleh kongsikan rahsia kesihatan.

Saya mengikut petua orang lama iaitu kalau makanan sedap jangan makan banyak atau jarang-jarang makan. Saya amalkan pemakanan seimbang, sayur-sayuran dan buah mesti ada dalam menu harian saya. Senaman ringan 30 minit setiap pagi saya tidak akan tinggalkan. Saya masih mampu mendaki bukit ketika ini jadi tidak ada masalah untuk saya berkempen berjalan kaki bertemu orang ramai sepanjang PRU15.

Apa pembaharuan yang ingin lakukan sekiranya dipilih jadi wakil rakyat?

Saya dan calon-calon PRM menentang keras amalan rasuah yang berleluasa dan kami mahu menghapuskan amalan itu bermula daripada kepimpinan tertinggi negara sehingga ke peringkat bawahan. Rasuah umpama kanser yang merebak, sekarang pun kita berada pada tahap yang teruk. Jika tidak dibendung gejala rasuah akan lebih memburuk. Negara kita mempunyai sumber yang banyak, ada balak, minyak dan sebagainya, namun ke mana hasil semua ini pergi sehingga rakyat semakin sukar kehidupan mereka. Ini semua berlaku akibat daripada rasuah yang berleluasa.

Calon usia emas selalunya berdepan kesukaran mendapatkan undi daripada generasi muda kerana jurang usia serta ideologi, bagaimana anda mendekatkan diri dengan pengundi?

Setakat ini saya berkempen dengan bertemu setiap lapisan masyarakat termasuk golongan muda dan dapati mereka menerima dengan baik calon-calon PRM. Ini kerana orang muda tahu PRM menawarkan satu pilihan baharu yang lain daripada gabungan parti-parti sedia ada.

Apa pesanan terhadap pengundi Parlimen Bayan Baru menjelang hari pengundian?

Pengundi kena peka terhadap keadaan negara sekarang yang teruk yang mana keadaan ekonomi kita tidak baik, banyak pengangguran berlaku, malah rasuah berleluasa. Ini semua perlukan perubahan yang datangnya daripada pengundi. PRM tidak menjanjikan manifesto bulan dan bintang, namun kita janjikan perkara yang boleh kita lakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN