Berakhir era Shahidan selepas 40 tahun? - Utusan Malaysia

Berakhir era Shahidan selepas 40 tahun?

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

SELEPAS hampir 40 tahun, era Datuk Seri Shahidan Kassim di dalam arena politik UMNO di Perlis bagaikan menuju penamat selepas nama beliau buat pertama kali dalam tempoh tiga dekad gugur sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shahidan merupakan tokoh atau figura politik cukup berpengaruh di Perlis dengan menguasai Parlimen Arau selama empat penggal iaitu pada 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Masa depan politik Shahidan di Perlis mula kabur selepas disingkirkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tahun lalu iaitu jawatan yang disandang sejak 1995.

Ia memberi bayangan awal kepada bakal berakhirnya era beliau dalam politik di Perlis. Di sebalik tekanan itu, Shahidan tidak pernah mengalah sebaliknya terus mengekalkan pengaruhnya sama ada di Arau atau di peringkat negeri.

Di usia menjangkau 70 tahun, Shahidan sebenarnya masih mempunyai kekuatan dan pengaruh politik cukup kuat di negeri. Malah Shahidan masih disifatkan calon boleh menang jika dikekalkan di kerusi Parlimen Arau.

Shahidan juga masih disenangi oleh penduduk berikutan jasanya yang besar selain tidak pernah berhenti mendekati dan menyantuni rakyat.

Secara tidak langsung, apabila Shahidan digugurkan sebagai calon, ia mampu memberi kesan di Parlimen Arau dengan persoalannya adalah calon baharu nanti mampu mengulangi pencapaian cemerlang beliau di kerusi itu?

Lebih membimbangkan, adakah akar umbi yang bersama Shahidan sejak sekian lama itu boleh menerima keputusan pengguguran Shahidan? Adakah mereka akan memberi sokongan atau membantu calon baharu yang diketengahkan?

Buktinya sejak kelmarin, seluruh 113 bilik gerakan yang dibuka lebih awal di kawasan berkenaan mula ditutup selain bendera parti yang dipasang juga telah diturunkan.

Malah ada dalam kalangan akar umbi di peringkat bahagian sendiri memberi peringatan tegas akan memastikan calon UMNO tewas di kerusi berkenaan apabila nama Shahidan digugurkan pada kali ini.

Ironinya, dari aspek positif pula, penyingkiran Shahidan itu mungkin boleh membuka ruang kepada pemimpin muka baharu bertanding di kawasan berkenaan.

Dalam landskap politik UMNO Perlis pula, ia bakal membuka ruang kepada pemimpin pelapis lain dalam mencorak hala tuju baharu dan transformasi UMNO di Perlis termasuk Arau tanpa dibayangi oleh pengaruh Shahidan lagi.

Menjelang PRU15, UMNO bakal mengetengahkan calon muka baharu iaitu bekas Naib Ketua Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman dan sudah pastinya ia bakal memberi nafas baharu di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya