‘Benih’ BN sudah tiada di Perlis

‘Benih’ BN sudah tiada di Perlis’, proses tukar kerajaan akan lancar

MOHD. Shukri Ramli (kiri) memeluk Shahidan Kassim yang meraikan kejayaan PN menyapu 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis di Kompleks Pas, Kangar, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Proses pertukaran kerajaan di negeri ini buat pertama kalinya dalam sejarah bakal berjalan lancar memandangkan tiada lagi ‘benih’ Barisan Nasional (BN) di Perlis selepas gabungan tersebut kalah semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada masa sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd. Shukri Ramli berharap rakyat di negeri ini bertenang dan menerima proses pertukaran kerajaan baharu di bawah PN  yang akan berusaha membawa kepemimpinan bersih dan stabil.

Katanya, benih BN sudah tiada di negeri ini dan pembentukan ke arah kerajaan negeri baharu, akan berjalan lancar dalam masa terdekat.

“Kepercayaan yang diberikan rakyat adalah satu ujian dan amanah yang amat besar kepada gabungan ini. Kejayaan ini adalah satu kejayaan yang amat dahsyat apabila rakyat Perlis dilihat berani melakukan perubahan demi ‘Bersih dan Stabil’ yang menjadi slogan PN.

“Kami kepemimpinan PN Perlis akan berusaha membawa kepimpinan bersih dan stabil, seperti yang terkandung di dalam manifesto tawaran PN Best dan perkara ini menjadi impian seluruh rakyat negeri ini yang inginkan perubahan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pas Kangar di sini tengah malam tadi.

PN berjaya membentuk kerajaan negeridengan majoriti dua pertiga setelah mengusai 14 daripada 15 kerusi DUN sekali gus menamatkan penguasaan lebih 60 tahun BN di Perlis.

BN gagal memenangi mana-mana kerusi sekali pun yang disifatkan pencapaian paling buruk dalam sejarah parti di negeri ini manakala Pakatan Harapan (PH) mengekalkan satu kerusi di Indera Kayangan.

Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, PN Perlis sentiasa mengalu-alukan teguran daripada segenap lapisan masyarakat demi kebaikan bersama.

Seterusnya beliau yang mengekalkan kemenangan di DUN Sanglang itu berharap semangat perpaduan ummah yang bermula di Perlis menjadi titik tolak di seluruh negara dan ikutan di negeri-negeri lain selepas ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai siapa calon Menteri Besar yang baharu, Mohd. Shukri berkata, mereka menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti dan saya difahamkan bahawa watikah daripada parti bagi pembentukan kerajaan negeri kini dalam perjalanan dari Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya