Anwar selesai angkat sumpah PM ke-10 - Utusan Malaysia

Anwar selesai angkat sumpah PM ke-10

Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, 24 November lalu. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas tiada gabungan parti politik meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar, 75, di Istana Negara.

Turut berkenan menyaksikan istiadat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut hadir.

Antara pemimpin parti politik yang hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (19 November) lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.