PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mengurangkan lantikan politik khusus bagi duta khas bertaraf menteri dan mengambil penjawat awam seperti Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
Hal ini selaras dengan keputusan Anwar yang tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, malah menolak menggunakan kenderaan jenis Mercedes S6000 yang telah dibeli Jabatan Perdana Menteri kerana enggan perbelanjaan baharu dibuat untuk beliau.
Pengurangan pegawai kerajaan lantikan politik diyakini dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan kerana semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, lebih RM48,000 terpaksa dibelanjakan untuk bayaran keseluruhan kakitangan bagi setiap duta khas bertaraf menteri.
Buktinya, berdasarkan pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat bertarikh 21 September 2021, sejak tahun 2020 hingga 2021, jawatan Setiausaha Sulit Kanan Gred 54 dibayar dengan anggaran gaji bulanan maksimum RM13,251 serta imbuhan tetap RM2,000 manakala Pegawai Khas Gred 52 dibayar anggaran gaji bulanan RM12,444 dengan imbuhan tetap RM1,600.
Bagi jawatan Setiausaha Sulit Gred 41/44, anggaran gaji bulanan RM10,406 serta imbuhan tetap RM1,100 diikuti Setiausaha Pejabat mendapat gaji RM3,256 (imbuhan tetap RM810) dan pemandu anggaran gaji bulanan RM2,939 (imbuhan tetap RM745), yang tidak termasuk kos lawatan, ubah suai pejabat dan lain-lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, sekalipun kerajaan mahu melantik seseorang melalui lantikan politik, ia harus diberi bukan atas dasar ‘ganjaran politik’ hanya kerana menyokong pentadbiran Anwar.
Katanya, seseorang yang memegang jawatan lantikan politik mesti sesuai dengan skop tugasan dilakukan dan kadar gaji dibayar oleh kerajaan.
“Namun, secara praktikal perkara ini sukar jika tiada atau kurangkan lantikan politik kerana mereka tidak bekerja sepanjang waktu pejabat seperti pegawai-pegawai awam biasa.
“Kadang-kadang mereka terpaksa bekerja lebih masa dan ada perkara tertentu memerlukan lantikan politik berbanding lantikan awam dan apabila melantik dalam kalangan penjawat awam pula, mereka terpaksa menjalankan kerja-kerja politik, bukan lagi kerja hakiki berkaitan kerajaan.
“Isunya mungkin terlalu ramai lantikan politik atas dasar ganjaran dan kemungkinan mereka tidak dapat memainkan fungsi secara efisien, hanya sekadar memberi jawatan dan ‘gaji percuma,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kerajaan sebelum ini melantik empat pemimpin parti politik sebagai duta khas bertaraf menteri iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Timur Tengah); Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (India); Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing (China) dan Timbalan Presiden Presiden Rakyat Bersatu Sarawak, Datuk Seri Richard Riot Jaem (Asia Timur).
Pakatan Harapan (PH) juga sebelum itu pernah melantik Penasihat DAP, Tan Kok Wai menjadi duta khas ke China, bagaimanapun, pelantikannya tidak membawa jawatannya setaraf menteri.
Sementara itu, Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, lantikan politik kurang diperlukan kerana setiap menteri dan timbalan menteri sudah mempunyai sistem sokongan daripada penjawat awam.
Katanya, pegawai lantikan politik harus mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) seperti penjawat awam kerana wujud stigma lantikan politik tidak menjalankan kerja secara efisien.
“Tiada keadaan mendesak untuk lantikan politik kerana tugasnya boleh dilakukan oleh duta-duta sedia malah dasar juga digubal penjawat awam. Jika ada sesuatu isu di mana kita tidak mempunyai duta di sesuatu negara, maka barulah pelantikan duta itu diperlukan. Tetapi, Malaysia sebagai negara kecil saya tidak nampak keperluannya,” ujar beliau. – UTUSAN










