BUKIT MERTAJAM: Seorang anggota polis terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel), kira-kira pukul 12.48 tengah malam tadi.
Dalam kejadian yang berlaku di Kilometer (KM) 5.3 Jambatan Pulau Pinang (menghala pulau) di sini itu, mangsa, Koperal Abu Talib Sarif, 33, dikatakan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Uban dekat sini, selepas selesai menjalankan tugas pemantauan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT).
Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang dipercayai terbabas sebelum melanggar kenderaan jenis Toyota Hilux itu di kawasan penutup lorong.
Mangsa yang telah berkahwin dilaporkan berasal dari Kedah dan baru sahaja berkhidmat di bahagian tersebut Oktober lalu selepas ditukarkan dari Cawangan Trafik di IPK yang sama.
Jenazahnya dijangka dikebumikan selepas solat zuhur di Sungai Petani, Kedah hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. – UTUSAN