Amanah Perak tukar dua calon DUN

Amanah Perak tukar dua calon DUN

AHMAD HISHAMUDDIN ABDULLAH dan RUSLI BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengumumkan penukaran dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan DUN Belanja dan Kubu Gajah, menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) esok.

Setiausaha Amanah Perak, Salman Salleh berkata, calon asal DUN Belanja yang diumumkan pada 28 Oktober lalu iaitu Mohd Ikhmal Mohd Iskandar digantikan dengan Ahmad Hishamuddin Abdullah.

Sementara, calon awal Mohd Nazri Din bagi DUN Kubu Gajah digantikan dengan Rusli Bakar.

“Pertukaran ini telah dipersetujui oleh pimpinan Amanah Nasional dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebab atau alasan pertukaran itu dilakukan.

Bagaimanapun, Mohd Ikhmal dalam kenyataannya memaklumkan beliau sendiri menolak pencalonannya itu dan telah menghantar surat pengunduran diri daripada menjadi calon DUN Belanja, bertarikh 29 Oktober lalu.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak itu menjelaskan sebelum ini beliau ditawarkan bertanding di DUN Bota tetapi pada saat-saat akhir diminta bertanding DUN Belanja dan pertukaran dilakukan dalam masa yang singkat itu telah menyentap semangat dan menjejas kesiapsiagaan beliau.

“Pada awalnya saya diminta untuk bersedia menjadi calon di N40 Bota mewakili kuota Amanah dan sedikit rundingan telah diadakan bersama Amanah Kawasan Parit sepanjang persediaan saya di DUN N40 Bota.

“Maka pada 25 Oktober lalu, saya telah menerima surat (e-mel) untuk bersedia di DUN N40 Bota.

“Susulan daripada penerimaan surat tersebut, saya telah memberitahu kepada keluarga dan ahli parti tentang perkhabaran ini,” jelasnya kenyataan tersebut 

Menurut beliau, pada 27 Oktober, beliau menerima e-mel kedua yang memintanya bertukar ke DUN N39 Belanja kerana kerusi N40 Bota akan diberikan kepada calon dari PKR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN