KEMAMAN: Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai yang dikhuatiri lemas di alur sungai Kuala Kemaman berhampiran Pantai Marina di sini, kerap membaca al-Quran dan bercerita mengenai kematian sejak beberapa minggu lalu.
Ibunya, Haslina Yusoff, 48, berkata, anaknya, Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman, 11, juga sering meminta izin untuk menunaikan solat berjemaah di surau berhampiran kediaman mereka di Taman Bukit Kuang Sejahtera, namun dia tidak memberi keizinan berikutan bimbang keselamatannya.
“Dia (Mohamad Aiman Asyraf) beberapa kali minta izin nak solat di surau, dia beritahu solat di surau lebih banyak pahala.
“Sebelum kejadian, ketika awal pagi kami keluar untuk sarapan di kedai, dia turut membaca al-Quran dalam kereta. Tak sangka perubahan yang ditunjukkan ini memberi tanda akan berlaku insiden yang memilukan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, Mohamad Aiman Asyraf dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama jirannya, Mohd. Saiful Asyraf Mohd. Saiful Azhar, 12, dan Wan Wafiuddin Wan Mohd. Dzulkhairy, 9.
Haslina berkata, dia hanya mengetahui kejadian malang yang menimpa anak ketujuh daripada lapan beradik itu kira-kira pukul 5 petang selepas diberitahu jirannya.
“Sebelum kejadian, dia minta izin untuk mandi hujan dan bermain basikal. Saya benarkan sebab dia hanya bermain di kawasan perumahan.
“Saya memang tak tahu anak saya mengayuh basikal ke kawasan pantai ini sebab jauh dari rumah. Memang tak sangka dia akan datang ke sini,” katanya yang turut sedih melihat selipar dan basikal anaknya yang ditinggalkan berhampiran pantai itu. – UTUSAN