Ahli perniagaan pukul isteri dipenjara 3 bulan, denda maksimum RM2,000 - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan pukul isteri dipenjara 3 bulan, denda maksimum RM2,000

REDUAN Mahamood hadir di Mahkamah Majistret Kajang bagi menghadapi pertuduhan mencederakan isteri. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seorang lelaki yang videonya tular kerana mengasari isteri di sebuah rumah minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan wanita tersebut.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhi hukuman itu terhadap ahli perniagaan, Reduan Mahamood, 58, dan memerintahkannya dipenjara sebulan lagi jika gagal menjelaskan denda.

“Seorang isteri adalah pendamping bukannya `punching bag’. Harap hukuman dapat memberi pengajaran kepada kamu, jangan buat lagi pada anak, isteri dan pada sesiapa sekali pun,” demikian nasihat Nik Siti Norazlini.

Mengikut pertuduhan, Reduan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adrina Mohd. Ariff, 45, dengan cara memukul dan menendang mangsa menggunakan tangan dan kaki.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras di sini pukul 5.13 petang pada 14 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam Mohd. Shafiq Ahmed Bazari yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah telah menjimatkan masa mahkamah.

“Tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi merupakan penanggung utama keluarga selain telah insaf dengan perbuatan yang dilakukan,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran agar tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

Pada 19 November lalu, media melaporkan seorang lelaki yang videonya tular kerana memijak dan memukul isteri di hadapan seorang kanak-kanak perempuan, ditahan pihak polis di kawasan Setapak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, tangkapan itu dibuat selepas Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang menerima satu laporan berkenaan kes keganasan rumah tangga.

Menurut Mohd. Zaid, pengadu yang juga mangsa berusia 45 tahun memaklumkan telah dipukul menggunakan tangan dan kaki menyebabkan badannya mengalami kecederaan.

Video kejadian tanpa lokasi dan tarikh itu kemudian tular di media sosial melalui aplikasi TikTok sehingga menimbulkan kecaman netizen.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu menunjukkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa di heret dan ditendang di bahagian muka serta badan berkali-kali.

Kanak-kanak perempuan itu juga kelihatan menangis sambil menangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu tersebut.

Kapsyen video berkenaan menyatakan lelaki itu didakwa merupakan bekas suami kepada seorang penyanyi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN