Ahli Parlimen langgar arahan BN hilang kerusi - Azalina

Ahli Parlimen langgar arahan BN hilang kerusi – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju bahawa mereka akan berhenti menjadi ahli parti itu jika melanggar arahan BN, sekali gus kehilangan kerusi di Parlimen.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam proses memperkenal Undang-Undang Larangan Lompat Parti, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan telah dipinda untuk menyekat kebebasan berpersatuan bagi ahli Parlimen yang tertakluk kepada Undang-undang Larangan Lompat Parti. 

Katanya, implikasinya adalah seorang ahli Parlimen terikat dengan arahan parti dan bukan lagi ‘ejen bebas’.

“Undang-undang Larangan Lompat Parti secara tersirat membenarkan parti politik untuk berhijrah secara en bloc dari satu gabungan ke gabungan parti politik yang lain. Bagaimanapun, satu perkara yang perlu diingat ialah Undang-undang Larangan Lompat Parti dalam mentakrifkan parti politik, tidak membezakan antara gabungan politik dan parti politik komponen.

“Implikasinya di sini adalah jika gabungan politik sedia ada bertanding di bawah satu logo dan membentangkan satu manifesto pada PRU15, dan lebih penting lagi, jika calon-calon ini mendapat watikah mereka untuk bertanding PRU15 secara langsung daripada ketua gabungan parti politik masing-masing, gabungan ini adalah sebuah parti politik di bawah Undang-Undang Larangan Lompat Parti.

“Oleh itu, mana-mana parti komponen yang ingin meninggalkan gabungan parti politik sedia ada seperti yang dinyatakan di atas perlu mengosongkan kerusi mereka kerana mereka telah berpaling tadah daripada parti politik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru, katanya, semua parti politik dan gabungan parti politik yang telah memperoleh kerusi Parlimen, perlu cuba berunding untuk membentuk kerajaan gabungan pasca-pilihan raya (KG-PPR).

Katanya, malah, Yang di-Pertuan Agong juga telah menitahkan supaya semua ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik berusaha membentuk KG-PPR dan mengenal pasti calon Perdana Menteri.

Menurutnya, KG-PPR boleh terjadi apabila ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik dan gabungan parti politik selepas berunding perlu berkumpul secara en bloc dengan parti politik atau gabungan parti politik lain untuk secara kolektif menyokong pembentukan KG-PPR dan mengenal pasti calon Perdana Menteri dalam kalangan mereka.

“Terdapat dua peringkat berkaitan perkara ini. Di peringkat pertama, Undang-Undang Larangan Lompat Parti yang digubal pada awal tahun ini melalui pindaan perlembagaan dengan memasukkan Perkara 49A dalam Perlembagaan Persekutuan akan memastikan kepatuhan disiplin semua Ahli Parlimen. 

“Di bawah Undang-Undang Larangan Lompat Parti, seorang ahli Parlimen daripada parti politik perlu mengosongkan kerusinya jika beliau meletak jawatan sebagai ahli parti politik, atau berhenti menjadi ahli parti politik itu. Di sini, mekanisme pemberhentian keahlian sesebuah parti politik akan memastikan kepatuhan disiplin. Tetapi, bagaimanakah ia dapat dicapai?

“Di peringkat kedua, parti politik boleh dan telah pun menetapkan pelbagai cara untuk memastikan ahli Parlimen mematuhi arahan parti politik, sama ada melalui pindaan perlembagaan parti atau melalui satu set perjanjian, untuk memastikan ahli Parlimen mengikut keputusan parti dalam isu-isu asas yang juga merangkumi isu pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri.

“Oleh itu, mana-mana ahli Parlimen yang enggan menuruti keputusan parti akan digugurkan,  iaitu ‘ceases to be a member’ keahlian partinya dan perlu mengosongkan kerusi mereka di Parlimen. Ini akan bertindak sebagai penghalang kepada ahli Parlimen daripada mengingkari arahan parti, sekali gus memastikan kepatuhan disiplin parti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya