Agihan subsidi lebihi bersasar – PM

Agihan subsidi lebih bersasar – PM

Anwar Ibrahim berbual dengan Nor Shamsiah Mohd. Yunus pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan berpandangan bahawa peruntukan perbelanjaan subsidi sepatutnya bertujuan meringankan beban orang miskin dan agihan pemberian bantuan itu perlu dikaji semula agar ia lebih bersasar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu kerajaan memberi tempoh dua minggu kepada semua pihak berkaitan untuk mencerakin dan menelusuri seluruh implikasi agihan subsidi termasuk perbincangan dengan sektor swasta.

Untuk rekod, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang diperuntukkan setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi tahun ini sekali gus menyaksikan jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, dan bil subsidi (tidak termasuk bantuan kebajikan).

“Saya tiada masalah bagi subsidi tapi ia penting bagi rakyat. Justeru, subsidi seharusnya lebih bersasar dan tentunya golongan kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat daripadanya.

“Bagaimanapun, mereka (golongan kaya dan industri) akan diberikan kemudahan dan insentif lain supaya tidak menjadi beban kepada mereka yang sudah biasa dengan subsidi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di Pejabat Perdana Menteri, semalam.

Mesyuarat khas itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan wakil-wakil kementerian.

Anwar berkata, beliau memberi tempoh dua minggu bagi kajian implikasi subsidi itu supaya sesuai dengan pelantikan Jemaah Menteri yang akan dibentuk tidak lama lagi.

“Kabinet yang akan dibentuk kelak akan meneliti keseluruhan dasar baharu ini sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan saya.

Berhubung tarif elektrik pula, Anwar berkata, berdasarkan angka dibentangkan pada mesyuarat tadi, manfaat tarif untuk golongan miskin hampir sama dengan golongan kaya iaitu berjumlah RM2.5 bilion.

“Bagi saya, ia (tarif elektrik) tidak munasabah kerana namanya subsidi tapi turut mendapat manfaat daripada orang lain.

“Subsidi bagi tarif elektrik akan diteruskan untuk golongan memerlukan namun, golongan terkaya dan industri besar tidak harus mendapat kemudahan itu kerana ia memberi beban ekonomi besar kepada kerajaan.

“Saya dahulukan dengan isu subsidi kerana saya anggap kos sara hidup masa kini terlalu menyiksa rakyat miskin,” katanya.

Anwar sebelum ini meletakkan komitmen beliau sebaik sahaja menggalas tugas sebagai Perdana Menteri untuk mengutamakan soal menangani kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini.

Beliau berkata, tindakan tegas itu tetap menjadi agenda utama walaupun situasi negara menunjukkan positif dengan kekuatan nilai ringgit dan kedudukan bursa saham yang lebih baik yang sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur kepada pentadbiran kerajaan sekarang.

Anwar yang dilantik mengetuai kerajaan perpaduan itu malah berkata, isu kos sara hidup perlu diberi perhatian apabila harga barang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN