50,769 warga asing disekat masuk Malaysia sejak April

50,769 warga asing disekat masuk Malaysia sejak April

KHAIRUL Dzaimee Daud (dua kanan) ketika hadir melihat kemudahan autogate untuk warga asing memasuki Malaysia di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 50,769 warga asing disekat masuk ke Malaysia atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lalu. 

 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah itu melibatkan warga asing yang disenarai hitam melibatkan warga India, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

 

Bagaimanapun, menurut beliau, ia adalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan ketibaan warga asing di semua pintu masuk negara iaitu seramai 10.4 juta orang. 

 

“Kami mendapati kesemua mereka yang cuba masuk semula ke Malaysia adalah terdiri daripada Program Rekalibrasi Tenaga Kerja melibatkan penghantaran pulang warga asing tanpa izin secara sukarela yang dilaksanakan tahun lalu.

 

“Ada dalam kalangan mereka cuba masuk ke Malaysia sebagai pelancong tetapi selepas disiasat secara terperinci, mereka tidak menepati syarat sebagai pelancong, tidak tahu tempat tinggal dan tidak mempunyai duit yang cukup untuk melancong,” katanya, hari ini.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan kemudahan pintu automatik untuk warga asing pemegang pas jangka panjang di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bermula hari ini. 

 

Mengulas mengenai kemudahan pintu automatik yang terbaharu itu, Khairul Dzaimee berkata, ia memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang pelbagai kategori di laluan keluar masuk KLIA dan KLIA2.

 

Katanya, kesemua mereka terdiri daripada 1,366,387 pemegang PLKS; 169,263 Pas Pasangan Kepada Warganegara; 68,012 Pas Pelajar; 14,046 Pas Residen dan 52,932 Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H). 

 

“Selain itu, 12,335 Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK); 9,345 Tanggungan Pas Lawatan Sosial (PLS); 91,198 Pas Penggajian dan 77,445 lain-lain pas di bawah seliaan Bahagian Khidmat Ekspatriat.

 

“Kemudahan kepada pemegang Pas Jangka Panjang dilaksanakan secara rintis di KLIA mulai 16 September lalu dan sehingga hari ini, seramai 1,910 pemegang Pas Jangka Panjang menggunakan kemudahan itu,” katanya.

 

Mengulas mengenai 10.4 juta kemasukan melalui pelbagai pintu utama sejak April lalu, beliau berkata, lima negara tertinggi adalah dari Singapura, Indonesia, Thailand, India dan China yang mana 60 peratus daripada jumlah ini merupakan warga Singapura. 

 

Katanya, rakyat Singapura yang berulang-alik dari Johor ke republik itu dianggarkan antara 7,000 hingga 10,000 orang sehari melibatkan pelbagai sebab seperti membeli-belah dan berniaga.

 

“Melihat kepada jumlah itu, kami sedang mengkaji untuk memperluaskan kemudahan pintu automatik kepada rakyat Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan kajian serta perbincangan sedang dilaksanakan.

 

“Pelaksanaan ini mengambil masa sebulan kerana ada beberapa perubahan kecil untuk membolehkan cip pasport mereka boleh dibaca sistem Imigresen,” katanya. 

 

Khairul Dzaimee berkata, sekiranya ia berjaya diselesaikan, kemudahan ini akan dapat dilaksanakan kepada warga Singapura menjelang hujung tahun ini. 

 

“Kita juga akan mengkaji secara berfasa bagi pintu keluar masuk di Thailand dan Brunei tetapi akan melalui beberapa kajian serta penilaian risiko keselamatan,” katanya. 

 

End

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya