5,000 penduduk terima manfaat Karnival Jualan Keluarga Peladang

5,000 penduduk terima manfaat Karnival Jualan Keluarga Peladang

Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Pengerusi NAFAS, Zamri Yaakob bergambar bersama pengunjung yang hadir pada program Jualan Karnival Keluarga Peladang di Laman Kerayong, Bera, Pahang, semalam. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kira-kira 5,000 penduduk sekitar Parlimen Bera menerima manfaat menerusi Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang diadakan di Dataran Kerayong di sini, kelmarin.

Inisiatif NAFAS ini turut melibatkan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan antaranya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Agrobank, Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bera.

Matlamat utama karnival tersebut bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat ekoran kenaikan harga barangan ketika ini.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, menerusi karnival yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 1 tengahari itu, NAFAS menyediakan ruang pameran serta jualan input pertanian dengan potongan harga yang menarik.

ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan ayam yang dijual dengan harga RM8 seekor sempena program Jualan Karnival Keluarga Peladang di Bera, Pahang, semalam.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat secara terperinci tentang bantuan dan pelaburan yang boleh disertai jika menjadi ahli peladang.

“Kita mengadakan jualan produk jenama peladang yang berasaskan makanan antaranya ayam, beras, minyak masak serta input pertanian.

“Istimewanya jualan ayam diadakan dengan harga serendah RM8 bagi seekor ayam bulat pada waktu “Happy Hour” dan ia hanya terhad kepada 500 ekor sahaja.

“Selain itu, pada waktu biasa, seekor akan dijual pada harga RM10 terhad bagi 1,000 ekor sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Karnival Jualan Keluarga Peladang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Kerayong di sini.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, pada karnival ini, Nekmat menjual produk ikan segar beku Q-fish dengan tawaran harga yang cukup menarik, jualan terus daripada ladang oleh Fama dan Agrobank akan membuka kaunter perkhidmatan.

“Khas bagi golongan belia, satu sesi perkongsian kejayaan bersama seorang usahawan belia yang berjaya dalam perniagaan diceburi mereka selama lima tahun yang menjana pendapatan sehingga RM 1 juta setahun.

“Sesi perkongsian ini diadakan bagi memberi inspirasi kepada golongan belia sekali gus menghasilkan pendapatan progresif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, usahawan itu adalah Atta Ahmad, 40, yang menceburi bidang perniagaan produk daging salai, patin tempoyak dalam pek sejuk beku dan juga travel pack pada 2017 serta menjadi ahli Bera Best.

Dalam pada itu katanya, NAFAS mensasarkan peningkatan keahlian Peladang Muda sehingga 30 peratus atau 300,000 ahli dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan pertubuhan itu bagi menarik golongan muda untuk menyertai sektor pertanian yang sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan kepada pengusaha.

“Kita (NAFAS) akan berkerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi melaksanakan pelbagai program bagi menarik golongan muda ini bagi menyertai bidang pertanian sekali gus berdaftar sebagai ahli PPK.

“Unit PPK di setiap kampung akan memainkan peranan untuk menarik masuk orang muda ini dalam PKK. Kursus dan seminar akan didedahkan kepada mereka untuk memberikan motivasi supaya mereka berminat menceburi bidang pertanian,” katanya.

Zamri berkata, selain latihan-latihan berkaitan pemasaran, projek-projek baharu juga boleh diketengahkan yang semestinya mendatangkan keuntungan kepada pengusaha atau ahli PPK muda ini.

“Tanaman betik dan ‘rock melon’ yang kita tahu mempunyai potensi untuk mendapat permintaan di pasaran. Jadi, kita akan fokus kepada tanaman ni untuk Peladang Muda,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya