4 lagi jemaah tarekat terkandas di Madinah tiba di KLIA  

4 lagi jemaah tarekat terkandas di Madinah tiba di KLIA  

EMPAT jemaah umrah dari kumpulan tarekat terkandas di Arab Saudi dikawal ketat pihak berkuasa sejurus tiba di KLIA, Sepang. - IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai empat orang lagi jemaah umrah warga Malaysia daripada kumpulan tarekat yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu akhirnya selamat tiba di tanah air pagi semalam.

 Khabar gembira itu disahkan Kementerian Luar menerusi kenyataan dalam laman sosialnya manakala baki seramai 23 orang lagi dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

 Kata Wisma Putra, pesawat komersial membawa kumpulan kedua ini mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8.59 pagi selepas kumpulan pertama seramai 36 orang sudah tiba di KLIA pada 4 November lalu dengan Malaysia Airlines penerbangan MH153 dari Madinah.

“Dengan ketibaan dua kumpulan ini, baki jemaah yang masih berada di Arab Saudi seramai 23 orang akan dibawa balik melalui penerbangan seterusnya secara berperingkat,” katanya.

Utusan Malaysia pada 8 Oktober lalu melaporkan Wisma Putra menyelaraskan usaha penghantaran balik kumpulan jemaah dari satu gerakan tarekat berpusat di Negeri Sembilan susulan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengenai amalan pelik mereka yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus Ahmad.

 Kumpulan ini terdiri daripada masing-masing 28 orang dewasa dan 35 orang kanak-kanak itu merupakan pengikut kumpulan Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang tiba di sana Mac lalu yang mana gerakan ini dipercayai merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu, namun hampa apabila langsung tidak pernah pun dibawa ke Mekah.

 Ketua tarekat gerakan sesat tersebut diusir keluar pihak kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan berkaitan visa.

 Kerajaan Malaysia ujar Kementerian Luar, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu kelancaran usaha misi penghantaran pulang tersebut dengan penyelarasan dilakukan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan kerjasama Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN